Album sulung Barbarik dapat sambutan positif

Album sulung Barbarik dapat sambutan positif



mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat kumpulan Barbarik untuk mencipta ‘sejarah’ menaiki helikopter sebagai gimik pelancaran album sulung mereka, berjudul Peluru Cokelat tidak menjadi kenyataan.

Ia berikutan keadaan cuaca tidak stabil membuatkan Barbarik yang dianggotai Muss selaku penyanyi, JoBranko (gitar), Ainoll (dram) dan Rozaimie (bass) terpaksa membatalkan perancangan yang sudah dibuat awal ini. 

“Kami sepatutnya naik helikopter dari Subang sebelum mendarat di The Garage KL, di sini, bagi pelancaran album dan sesi bertemu peminat. Namun, pagi ini cuaca hujan. 

“Jadi, kami dinasihatkan untuk tidak meneruskannya. Sebenarnya pengendali helikopter kami boleh teruskan tapi kami fikir panjang enggan ambil sebarang risiko.

“Kalau ikutkan perjalanan menggunakan helikopter dari Subang ke lokasi acara ini 10 minit saja. Apapun kami dah ada perancangan dari awal. Kalau cuaca tak baik, kami akan gunakan kereta,” kata JoBranko ketika ditemui di The Garage KL, di sini, hari ini.

Pada acara ini, Barbarik.berjaya menjual 500 keping cakera padat (CD) kepada peminat serta barangan lain seperti kemeja-T dan poster. 

“Syukur sambutan amat positif. Kami memang keluarkan teaser album ini dan ramai yang berpuas hati. Apa paling penting adalah lagu yang dimuatkan dalam album ini. 

“Setiap komen diberikan semuanya positif. Ada yang kata, album ini sangat berbaloi untuk didengari. 

“Album ini tak sama seperti dahulu, model yang kami terapkan adalah gabungan muzik lama dan baharu. Untuk hasilkan album ini adalah satu eksperimental yang orang tahu sesuai pada masa kini,” katanya.

Sementara itu; Muss berkata, selain CD, lagu Barbarik turut dikeluarkan dalam bentuk kad iaitu USB format WAV. 

“Dalam itu dimuatkan semua mengenai album ini, malah kami buat reka bentuk sendiri untuk USB itu. Kami bersyukur dikelilingi oleh kawan-kawan yang mahir bab teknologi,” katanya.

Album Peluru Cokelat mula dirakam pada Ramadan lalu yang mengandungi tujuh lagu. Barbarik akan mengadakan pelancaran dan showcase khas di pusat Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1 Disember nanti. 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top