Monte Carlo: Pemain No 3 dunia, Carlos Alcaraz, mara ke final Masters Monte Carlo buat kali pertama dalam kariernya selepas menundukkan rakan senegara, Alejandro Davidovich Fokina 7-6 (7/2), 6-4 dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Alcaraz akan bertemu sama ada Alex de Minaur atau Lorenzo Musetti di pentas akhir hari ini, dalam usahanya memburu kejuaraan Masters pertama di gelanggang tanah liat sejak Terbuka Perancis 2024.
“Saya tahu betapa hebatnya Fokina di Monte Carlo, jadi saya memang bersedia untuk bertarung habis-habisan,” kata juara Grand Slam empat kali itu.
Alcaraz yang sebelum ini hanya pernah beraksi sekali di kejohanan ini pada 2022, nyata berada dalam prestasi terbaik dan menyifatkan peluang menjuarai gelaran di atas tanah liat sebagai sesuatu yang amat bermakna selepas penantian panjang.
“Sudah lama saya tak dapat peluang seperti ini. Saya tak sabar nak mencubanya lagi kali ini,” katanya, merujuk kepada kegagalan menewaskan Novak Djokovic dalam final acara Olimpik di Paris, Ogos lalu.
Setakat ini, gelaran ATP 500 di Rotterdam pada Februari kekal satu-satunya kejuaraan Alcaraz musim ini — namun prestasinya di Monte Carlo jelas menunjukkan kebangkitannya di permukaan tanah liat yang menjadi kegemarannya.
Dalam perlawanan itu, Alcaraz bermula pantas dengan satu break awal, namun Davidovich Fokina bangkit menyamakan kedudukan 5-5 sebelum set pertama diheret ke penentuan tie-break yang dimenangi Alcaraz 7-2.
Set kedua menyaksikan corak yang sama dengan Alcaraz sekali lagi melakukan break awal dan kali ini tiada ruang untuk Davidovich Fokina bangkit walaupun berjaya menyelamatkan 13 break point dan empat mata perlawanan.
Kemenangan ini menambah keyakinan buat Alcaraz yang mahu menamatkan kemarau gelaran Masters dan mengukuhkan kedudukannya dalam senarai pemain pilihan menjelang kempen tanah liat Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd