am@hmetro.com.my
Gua Musang: “Hampir dua bulan sebelum meninggal, arwah suami sempat membelikan rumah untuk keluarga kami, dan hari ini saya menerima duit Faedah Orang Tanggungan arwah. Ia sangat membantu saya meneruskan kelangsungan hidup bersama tiga anak yang masih kecil,” kata Nur Farah Hanum Husain.
Nur Farah Hanum, 32, adalah balu kepada polis bantuan, Muhammad Radzi Ab Hamid, 36, yang terbabit dalam kemalangan maut di Felda Aring 15, di sini, pada September lalu.
Muhammad Radzi meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang berusia antara enam bulan hingga lima tahun.
Nur Farah Hanum menerima wang saraan bulanan berupa pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM2,895 sebulan bermula bulan ini.
Menurutnya, kehilangan suami menjadi ujian yang sangat berat buat keluarganya kerana arwah adalah satu-satunya tempat dia dan anak-anak bergantung.
Katanya, sebagai suri rumah dia tidak mempunyai pendapatan sendiri, jadi dengan pencen bulanan yang diterima sangat membantu dia menyara tiga anak.
“Pada mulanya saya buntu bagaimana untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil tambahan pula anak bongsu baru berusia enam bulan.
“Alhamdulillah dengan duit pencen bulanan ini dapat membantu saya menyara keluarga dan membesarkan anak-anak. Arwah suami juga ada meninggalkan rumah untuk kami yang sempat dia duduki lebih sebulan.
“Terima kasih kepada semua yang sudi hadir untuk menyampaikan sumbangan kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Bandar Utama Gua Musang, di sini, semalam.
Terdahulu Nur Farah Hanum dikunjungi Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan Adun Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi menyampaikan sumbangan daripada pihak Perkeso.
Sementara itu, Nora berkata, Nur Farah Hanum layak menerima pencen seumur hidup manakala tiga anaknya layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal).
Katanya dengan sumbangan terbabit diharap dapat meringankan beban keluarga itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd