Malaysia akan terus menyokong usaha diplomasi Indonesia bagi meredakan ketegangan antara Iran dan Israel, sekali gus memastikan keselamatan orang awam terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha Jakarta itu juga diharap membuka ruang rundingan yang bermakna ke arah penyelesaian aman dan berkekalan di Asia Barat.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menjelaskan perkara itu dibincangkan sewaktu perbualan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam.
“Kami berdua bersama-sama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia menyokong segala usaha yang menjurus ke arah perdamaian dan penyelesaian konflik tersebut,” kata Anwar.

Selain isu serantau dan antarabangsa, Perdana Menteri menambah, beliau dan Prabowo turut bersetuju mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat antara kedua-dua negara.
“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” tambah beliau.
Sumber: FB Anwar Ibrahim







