September 8, 2024

Ali Tinju mahu bawa keluarga bekas tentera sokong PKR

Ali Tinju mahu bawa keluarga bekas tentera sokong PKR


KUALA LUMPUR – Walaupun ramai meragui sokongan Ali Tinju kepada Perdana Menteri namun beliau berazam mahu membela nasib bekas tentera dan polis selepas yakin dengan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah negara.

Ali Tinju atau nama sebenarnya Datuk Mohd Ali Baharom telah diterima sebagai ahli PKR Cabang Bandar Tun Razak pada Mei lalu mahu membawa sebahagian besar daripada 6.5 juta bekas tentera dan polis serta keluarga mereka menyertai PKR.

“Saya sudah ada lebih 20 tahun lebih pengalaman menjaga kebajikan bekas tentera dan berani bersuara serta bercakap benar dan saya kagum selepas melihat kesungguhan Perdana Menteri membela golongan memerlukan di negara ini,” kata Presiden Media Tentera Rakyat itu kepada MalaysiaGazette.

Ali Tinju merupakan Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia & Ketua Penyatuan Gabungan NGO NGO Madani Negara serta mantan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM).

Pada 5 Mei lalu, Ali Tinju diterima menjadi ahli PKR Cabang Bandar Tun Razak oleh ketua bahagiannya, Datuk Azman Abidin yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau juga mahu menjadikan kediamannya di Puchong sebagai bilik gerakan dan urusetia bagi membantu bekas tentera dan polis selain dalam masa yang sama mempromosi mereka menyertai PKR.

Sebelum ini, Ali Tinju berkata, pada mulanya beliau meragui kemampuan Anwar menjadi Perdana Menteri namun selepas melihat prestasi Ahli Parlimen Tambun itu, beliau yakin Anwar adalah pemimpin yang diperlukan negara ketika ini.

“Perjuangannya menentang ahli politik dan penjawat awam yang korup adalah perjuangan yang sukar kerana ia adalah masalah yang melanda kita selama beberapa dekad, tetapi dia telah melakukan kerja yang hebat setakat ini.

“Perang Anwar menentang rasuah telah meningkatkan keyakinan di kalangan pelabur asing di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top