Aliana mahu lupakan insiden ngeri

Aliana mahu lupakan insiden ngeri


TIADA istilah putus asa buat pelumba basikal trek negara, Nurul Aliana Syafika Azizan yang mahu kembali ke prestasi sebenar selepas mengalami insiden malang lima bulan lalu.

Biarpun ia bagai mimpi ngeri, namun pelumba itu tekad untuk bangkit dengan semangat baharu.

Pemenang pingat gangsa acara pecut berpasukan Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mengalami gegaran otak selepas terjatuh ketika menyertai Siri Trek Yayasan Sime Darby di Velodrom Nasional, Nilai Oktober tahun lalu.

Akibat insiden itu, Aliana mengalami kecederaan kepala dan tidak sedarkan diri selama empat puluh minit selepas kemalangan itu.

Menerusi sokongan berterusan rakan sepasukan, jurulatih serta bantuan Institut Sukan Negara (ISN) membantunya untuk terus kekal bersemangat mencari kembali kekuatan.

“Ketika ini luaran memang nampak baik, tetapi sebenarnya saya masih bergelut dengan dalaman yang tiada siapa tahu.

“Ada kala pernah terfikir, saya sudah okay ka?,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa setakat ini semua semakin baik dan sudah berlatih dengan rakan termasuk pelumba muda.

Namun tambahnya masih ada jurang yang jauh disebabkan mereka sudah berada di kemuncak prestasi berbanding beliau ibarat baru bermula.

“Bila ada jurang, kadang-kadang saya rasa down. Tipulah kalau saya cakap tiada apa-apa. Namun setakat ini, Alhamdulillah sokongan dari MSN, ISN dan kawan-kawan banyak bantu saya,” katanya.

Aliana memberitahu, kecederaan di kepala itu memberi kesan besar dalam dirinya dan mengakui ada kalanya masa terasa sehingga kini.

Begitu pun beliau sedar perlu melawan perkara itu dan mengambilnya sebagai satu yang positif biarpun mengakui masih terasa trauma.

“Semua ini ada kala mengganggu saya terutama ketika pelumba junior pun sedang meningkat naik,” katanya.

Susulan kecederaan itu Aliana terpaksa melupakan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 Februari lalu.

Malah beliau juga terpaksa melepaskan tempatnya dalam acara pecut berpasukan kepada junior, Nur Alyssa Farid ke Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, baru-baru ini.



Source link

OR

Scroll to Top