Alonso tidak mahu terlalu ghairah penampilan sulung di Moto2

Alonso tidak mahu terlalu ghairah penampilan sulung di Moto2


Alonso (dua dari kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian duta jenama bersama RCB di RUD Karting, Litar Antarabangsa Sepang, pada Selasa.

JUARA dunia Moto3, David Alonso, tidak mahu terlalu ghairah dalam penampilan sulungnya di Moto2, sebaliknya, pelumba muda sensasi berusia 18 tahun itu memilih untuk bersikap realistik dan meletakkan sasaran yang lebih konservatif.

Alonso, yang melangkah naik ke kelas Moto2 musim ini bersama pasukan CFMOTO Aspar, mengakui persaingan di kelas pertengahan itu jauh berbeza menyaksikan dia tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu pada dirinya sendiri.

“Sasaran utama saya di GP Thailand ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dan menimba pengalaman sebanyak mungkin daripada pelumba-pelumba senior.

“Saya sedar, walaupun saya sudah biasa dengan litar Chang, namun jentera Moto2 jauh berbeza. Ia lebih berkuasa dan memerlukan penyesuaian yang rapi,” kata Alonso.

Alonso, yang ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian duta jenama bersama RCB di RUD Karting, Litar Antarabangsa Sepang, pada Selasa, bagaimanapun, tidak menafikan teruja untuk bersaing di Moto2.

“Saya telah melakukan persiapan rapi, termasuk menjalani dua sesi ujian pra-musim dengan jumlah pusingan hampir 200 lap.

“Saya juga sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialami sebelum ini.

“Saya percaya, dengan kerja keras dan fokus, saya mampu meraih keputusan positif di Thailand,” jelas pelumba itu.

Alonso merupakan salah satu pelumba yang paling dinanti-nantikan musim ini selepas merangkul kejuaraan dunia Moto3 tahun lalu dengan rekod 14 kemenangan.

Beliau juga mencatatkan penamat musim penuh yang mengagumkan pada 2023, meraih lapan podium, termasuk empat kemenangan, untuk menamatkan saingan dalam tiga teratas keseluruhan.



Source link

OR

Scroll to Top