July 15, 2024

Altimet tawar bantu bayar denda Selangor FC

Altimet tawar bantu bayar denda Selangor FC


PENYANYI dan komposer, Altimet menawarkan untuk menyumbang separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini bagi membantu membayar denda skuad Selangor FC (SFC) susulan penarikan diri pasukan pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lepas.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor berkata, beliau sedia berbuat demikian jika SFC sudi menerima tawaran tersebut.

“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bayar denda ini jika SFC sudi,” katanya ringkas di laman X rasmi miliknya dengan menyertakan pautan berita berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Skuad Gergasi Merah itu.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan SFC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan ketidakhadiran mereka pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Skuad Merah Kuning itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top