July 16, 2024

‘MFL tidak empati aspek keselamatan pemain bola sepak’ – Azhari

‘MFL tidak empati aspek keselamatan pemain bola sepak’ – Azhari


UMNO Bahagian Shah Alam menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan dibuat tanpa ihsan.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya bersama rakyat negeri ini khususnya penyokong pasukan Selangor FC (SFC) menganggap keputusan MFL mengenakan denda dan ganti rugi sebagai tidak empati dengan keadaan semasa terutama aspek keselamatan selepas kes pemain Selangor, Mohd Faisal Abdul Halim disimbah asid.

“Kami sebagai anak Selangor menyokong titah baginda yang murka dengan keputusan MFL mendenda hingga RM100,000, membayar pampasan kerugian, pemotongan tiga mata dan bermain tanpa penonton kepada pasukan Selangor.

“Baginda mengambil maklum kes ketidakhadiran Selangor ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu yang mana pasukan itu telah memohon penangguhan atas sebab keselamatan dan kes-kes kekerasan melibatkan pemain di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, ujar beliau, segala keputusan dibuat oleh pengurusan pasukan adalah demi keselamatan pemain-pemain kerana tragedi yang melanda salah seorang pemain tonggak pasukan masih segar dan si pelaku masih belum ditangkap.

Mengulas mengenai kutipan derma oleh pelbagai pihak untuk membayar denda tersebut, Azhari menjelaskan, sebagai anak Selangor beliau sentiasa menyokong usaha rakyat negeri bersolidariti mengutip sumbangan bagi melunaskan denda tersebut.

Terdahulu, MFL memaklumkan, SFC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan ketidakhadiran mereka pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor.

Skuad Merah Kuning itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya, Faisal menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor murka dengan keputusan terbaharu MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung susulan penarikan diri pasukan Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Sultan Selangor bertitah, baginda terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 serta berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor selain menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor.



Source link

OR

Scroll to Top