July 23, 2024

Selangor FC akan fail rayuan rasmi kepada MFL

Selangor FC akan fail rayuan rasmi kepada MFL


SELANGOR FC (SFC) akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berlandaskan peraturan-peraturan berkaitan.

Skuad Gergasi Merah itu dalam kenyataan malam ini mengambil maklum keputusan MFL berhubung pertimbangan semula keputusan yang dibuat selaras dengan ketidakhadirannya pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, pada 10 Mei lepas.

“Untuk makluman Selangor FC masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu MFL dalam kenyataan hari ini berkata ahli Lembaga pengarah telah menggunakan “budi bicara” untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan keatas pasukan itu turut dibatalkan,

Selain itu larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan SFC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir menyaksikan pada perlawanan itu nanti.

MFL berkata tempoh rayuan diberikan kepada SFC adalah selama tiga hari bermula hari ini seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top