Alunan rock Edrie, Candy penuh 'energi'

Alunan rock Edrie, Candy penuh 'energi'


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Gempak jadinya apabila Edrie Hashim dan kumpulan Candy menggegarkan Dewan Orkestra Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan alunan muzik rock penuh bertenaga baru-baru ini.

‘Showcase’ Pistol & Bunga yang menampilkan gitaris prolifik ini dan Candy yang turut dianggotai isterinya, Pat adalah sebahagian daripada inisiatif Fakulti Pengurusan ASWARA melalui kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik dengan kerjasama Neo Gendang Records.

Tidak keterlaluan dikatakan Dewan Orkestra ASWARA bertukar warna menjadi medan rock penuh ‘energi’ dek kehangatan dan kemantapan persembahan yang ditampilkan mereka.

Pembukaan pentas menyaksikan penonton dibawa masuk ke dunia penuh dramatik melalui permainan cahaya dan siluet sebelum petikan gitar Edrie yang lantang membuka tirai persembahan.

Ia sudah cukup mewujudkan perasaan teruja dalam kalangan mereka yang hadir untuk terus menyaksikan ‘showcase’ ini sehingga lagu terakhir.

Hampir dua jam, pentas dimeriahkan dengan nuansa lagu yang mencerminkan keunggulan dua nama besar industri muzik tanah air serta semangat baharu daripada pelajar ASWARA.

Sudah namanya gitaris terkenal dan kini bersama kumpulan Wings, Edrie membuktikan kredibilitinya dengan persembahan penuh teknikaliti, gaya dan jiwa.

Dari Answers ciptaan Steve Vai, Flight of the Wounded Bumblebee oleh Nuno Bettencourt, hingga ke karya sendiri seperti Terpaling, Sakti dan Redha (The Victory).

Juga Edrie membuktikan kedudukannya sebagai maestro gitar Malaysia dengan menghadirkan medley ciptaannya yang pernah mencorakkan sejarah muzik Malaysia.

Ia diperlihatkan menerusi lagu Suralaya Dalam D Major (Amy Search), Ampunkan Aku (DefGabC) dan Iris (Awie) yang menjadi bukti nyata bahawa Edrie bukan sekadar penghibur,

tetapi juga arkitek kepada banyak lagu ‘evergreen’ negara.

Lebih mengejutkan dan bonus buat penonton, Edrie turut mempamerkan sisi vokalnya dengan menyanyi di pentas, menambahkan lagi pesona dan versatilitinya sebagai pemuzik serba boleh.

Candy juga tidak kurang hebatnya. Aura mereka ternyata tidak pernah pudar. Lagu mereka seperti Emansipasi, Akukah Yang Bersalah, Bagai Permata dan Akan Ku Tunggu menggamit memori kolektif penonton, namun tetap disampaikan dengan tenaga segar dan vokal yang lantang.

Mereka turut memilih mengalunkan lagu Warisan, menjadikan suasana agak hiba bercampur semangat kebangsaan yang meresapi jiwa penonton.

Kemuncak persembahan hadir pada sesi ‘encore’, apabila Candy, Edrie dan pelajar ASWARA bersatu di atas pentas untuk membawakan Wanita Seluruh Dunia, Sweet Child O Mine dan Welcome to the Jungle.

Gabungan tiga generasi ini iaitu legenda rock wanita, gitaris maestro, dan pelapis muda menghasilkan impak ‘energi’ yang memukau.

Tepukan gemuruh dan sorakan panjang daripada penonton membuktikan bahawa persembahan itu meninggalkan kesan yang tidak mungkin dilupakan.

Kekuatan ‘showcase’ ini bukan sahaja pada nama besar yang tampil, tetapi juga pada kualiti barisan pelajar ASWARA yang menyerlahkan bakat, disiplin dan profesionalisme setanding penggiat industri.

Mereka bukan sekadar pelengkap, tetapi sebahagian daripada nadi utama persembahan. Kehadiran mereka mengangkat Pistol & Bunga sebagai satu produksi pendidikan yang berjaya melahirkan pengalaman sebenar industri muzik dalam suasana akademik.

Pistol & Bunga menjadi bukti bahawa muzik rock masih segar dan relevan. Kredibiliti Edrie sebagai gitaris tersohor yang mampu melangkaui instrumen ke dunia vokal, aura Candy yang tetap ‘maintain’ sebagai kumpulan rock wanita legenda serta keberanian pelajar ASWARA yang tampil penuh yakin, bersatu untuk mencipta sebuah malam yang gempak, ‘happening’ dan penuh kepuasan.

Penonton yang memenuhi Dewan Orkestra ASWARA pulang dengan senyum puas, membawa pulang kenangan menerusi sebuah persembahan yang bukan sekadar konsert, tetapi juga sebuah kegemilangan muzik rock tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top