Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini memulakan lembaran baharu kepimpinan pentadbiran dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim sebagai Ketua Setiausaha (KSU) baharu berkuat kuasa 11 Mei 2026.
KSU KPT baharu mula tugas hari ini

Pelantikan beliau menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan perkhidmatan dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.
Ketibaan Aminuddin di ruang legar kementerian disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian sebelum beliau mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi sebagai peneraju pentadbiran KPT.
Sebelum ini, Aminuddin berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia selain pernah menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Ketua Setiausaha.
Menurut KPT, pengalaman luas beliau dalam bidang pendidikan, inovasi dan pentadbiran awam diyakini mampu memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara daripada pendidikan asas hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

“KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat serantau dan global,” menurut kementerian dalam satu kenyataan hari ini.
Selain MOSTI, Aminuddin turut pernah memegang jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994 dan pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari University of York dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar, selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England.

Gabungan pengalaman dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Sehubungan itu, KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat serantau dan global.






