am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Penjual ikan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan anak perempuan teman wanitanya menggunakan rotan serta menarik rambut gara-gara enggan menghabiskan makanan diberikan tahun lalu.
Tertuduh Kenneth Ong Peng Quan, 43, membuat pengakuan itu melalui pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama.
Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh atau pun penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.
Tertuduh membayar denda itu.
Selain itu, mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan bon berkelakukan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ketika kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Merdeka, di sini, antara Februari hingga September 2025.
Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa berusia 41 tahun membuat laporan polis selepas mendapati terdapat banyak kes luka serta lembam pada badan anak perempuannya ketika mengambil mangsa dari sebuah tadika.
Hasil siasatan polis mendapati, ibu bapa mangsa bercerai pada November 2024 dan mangsa tinggal serta dijaga ibunya bersama-sama tertuduh yang juga kekasih wanita terbabit.
Mangsa menjelaskan sepanjang tinggal bersama ibunya, dia dipukul menggunakan rotan dan tangan oleh tertuduh di badan serta rambut ditarik gara-gara enggan makan serta tidak menghabiskan makanan diberikan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






