Amirudin enggan hukum MB Perlis berhubung siasatan SPRM

Amirudin enggan hukum MB Perlis berhubung siasatan SPRM


HULU SELANGOR – Datuk Seri Amirudin Shari tidak mahu menghukum Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli susulan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesyakinya menyalahgunakan kuasa dalam projek pembangunan di negeri itu.

Menteri Besar Selangor berkata, meskipun sebelum ini siasatan badan penguatkuasa undang-undang itu membabitkan anaknya namun, apa yang berlaku terhadap Mohd Shukri masih terlalu awal untuk diulas.

Katanya, beliau faham setiap kali siasatan dibuat ataupun soal siasat dilakukan secara automatik sebenarnya seorang itu telah pun ditahan dan dibebaskan itu merupakan perkara biasa.

“Saya tak nak menghukum beliau yang saya kenali secara peribadi dengan apa yang berlaku.

“Yang kita dengar sebelum ini adalah anak beliau, sekarang ini siasatan merebak kepada beliau…jadi, ini tak apalah biar pihak berkuasa jalankan tugas dengan baik,” katanya.
ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Raya Anak Muda Batang Kali, di sini, malam ini.

Amirudin ditanya wartawan mengenai siasatan SPRM terhadap Mohd Shukri, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Shukri dipanggil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya hari ini.

Difahamkan, beliau memberi keterangan berkenaan selama tiga jam bermula pukul 10 pagi.

Semalam media melaporkan, SPRM menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, situasi yang dialami Mohd Shukri menjadi satu ingatan buat dirinya dan mereka yang memegang amanah supaya lebih hati-hati dan menjaga integriti dengan menjamin tindakan-tindakan tidak melanggari tatakelola serta asas pentadbiran yang baik.

Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu mencatatkan kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berdasarkan kepada bencana ataupun perkara yang menimpa pihak lawan.

“Apa yang cuba ditampilkan oleh Pakatan Harapan adalah kita ingin menunjukkan apa yang dicapai terutamanya, sumbangan oleh mendiang Lee kee Hiong dan juga apa yang bakal dilaksanakan oleh calon akan datang, disamping sokongan kuat dan rangkaian program kebajikan serta pembangunan oleh kerajaan negeri.

“Itu kekuatan kita, daripada kita bergantung dengan isu-isu sensasi yang kadang kala boleh menjatuhkan aib, malahan, membuat konklusi terlalu awal terhadap apa-apa insiden yang berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top