AMK cadang had BUDI95 kembali kepada 300 liter, naik 350 liter untuk pengguna mobiliti tinggi


Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan supaya had subsidi petrol menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan sekiranya tekanan harga minyak dunia kembali reda dan kedudukan fiskal negara terus mengukuh.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, mekanisme tambahan sehingga 350 liter sebulan juga boleh dipertimbangkan bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi, tertakluk kepada pengesahan data serta kriteria yang jelas.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan sebagai sebahagian daripada agenda kos sara hidup AMK bagi memperkukuhkan reformasi subsidi yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi dan keperluan rakyat.

“Jika tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang yang lebih besar, maka kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 disemak semula dan dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan.
“Pada masa sama, mekanisme tambahan sehingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti yang lebih tinggi boleh dipertimbangkan, tertakluk kepada pengesahan data yang jelas,” katanya, semalam.

Muhammad Kamil berkata, cadangan itu bukan bermaksud subsidi diberikan tanpa had atau kerajaan mengabaikan disiplin fiskal, sebaliknya mekanisme subsidi perlu lebih responsif terhadap perubahan keadaan ekonomi dan keperluan rakyat.

“Kita tidak mencadangkan subsidi tanpa had, kita juga tidak mencadangkan kerajaan mengabaikan disiplin fiskal (tetapi) apa yang kita minta ialah sebuah mekanisme yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya lagi.

Katanya, kemajuan ekonomi mesti dirasai dalam kehidupan seharian rakyat menerusi pertumbuhan, pelaburan, peningkatan hasil kerajaan dan kedudukan fiskal yang semakin baik.

Artikel lain: Lebih 14.2 juta rakyat Malaysia nikmati subsidi BUDI95, penggunaan cecah 13.4 bilion liter

Namun, beliau berkata, semua pencapaian itu akan kehilangan makna sekiranya rakyat masih merasakan kehidupan mereka semakin sempit setiap bulan.

Justeru, beliau berkata AMK mengiktiraf usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan kewangan negara, pada masa sama melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.

Sumber: BERNAMA





Source link

OR

Scroll to Top