Penyanyi Datuk Amy Search berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai Raja Rock sepanjang empat dekad berkecimpung dalam dunia seni.
Memetik BH Online, Amy menghargai penghormatan diberikan kepadanya apabila penyanyi Awie menyifatkannya individu yang layak digelar ‘Raja Rock Negara’.
BACA: Amy Search Lebih Layak, Awie Tolak Gelaran ‘Raja Rock Negara’
“Pertamanya, terima kasih. Tapi bagi saya, saya tidak pernah rasa sebegitu kerana saya hanya melakukan kerja saya.
“Selebihnya, bagaimana mereka mahu melihat atau menilai saya, itu terpulang kepada mereka. Saya cuma mahu berkarya dengan sejujur mungkin dalam industri ini. Jadi, biarlah peminat yang menilai.
“Kalau Awie rasa begitu, saya ucapkan terima kasih. Namun, bagi saya, saya hanya mahu terus berkarya dengan penuh kejujuran dan selagi ada kudrat, selagi itulah saya akan terus melukis perjalanan seni saya,” katanya.
Dalam pada itu, Amy berkata dunia seni bukan medan perlumbaan serta tidak pernah memikirkan mengenai gelaran.
“Saya tak pernah fikir soal itu kerana bagi saya, dunia seni bukan tempat untuk berlumba. Saya tak masuk industri seni untuk bersaing dengan sesiapa.
“Apa yang kita lakukan itulah impian kita. Jadi, warnakan perjalanan itu sebaik mungkin, bukan mengejar status atau gelaran,” katanya.
Sumber: BH Online





