Penyanyi Amylea Azizan mendedahkan rumah tangganya dengan bekas suami, Mohammed Aqbar sudah bermasalah lima bulan selepas bernikah.
Memetik BH Online, Amylea berkata sepanjang perkahwinannya sudah dua kali berlakunya lafaz talak namun tidak mahu berkongsi secara terbuka.
BACA: Rupa Paras Dikritik, Ada Yang Suruh Amylea Buat Pembedahan
“Sebenarnya, ia situasi yang sangat sukar bagi saya sepanjang tahun lalu. Tapi Tuhan beri ujian dan pada masa sama tunjuk jalan keluar. Bila kita kerja, kita boleh ‘distract’ diri daripada perkara itu, dan secara automatik, kita jadi kuat.
“Secara jujurnya, dua talak itu sudah lama berlaku. Yang pertama pada Januari dan talak kedua dua bulan selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Amylea berkata dia enggan mendedahkan bila kedua-dua lafaz talak itu berlaku dan dia sudah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya.
“Bukan niat saya nak sembunyi dari media, tapi bila kita bersuara ketika sedih atau marah, kita mungkin akan terlebih kongsi atau cakap benda yang tak sepatutnya sampai menyesal.
“Perkahwinan kami dah tak berapa okay sejak bulan kelima tahun lalu. Saya lalui fasa demi fasa untuk selamatkan keadaan, tapi tak berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Amylea berkata sepanjang perkahwinan dia berusaha untuk menjadi isteri yang baik kerana impiannya mahu memiliki keluarga harmoni.
“Saya tak pernah tinggi suara pada dia. Saya memang mahu menjadi seorang isteri yang baik dan menantu yang baik. Saya betul-betul berusaha sehabis baik.
“Saya hanya mahu kehidupan sederhana sebagai seorang isteri. Itu salah satu impian terbesar saya, tapi perkara itu tidak menjadi,” katanya.
Sumber: Harian Metro






