mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga komposer Amylea Azizan, 39, berharap penggiat industri dan peminat agar turut melihatnya daripada sudut yang berbeza, selain dunia hiburan.
Pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia 3 pada 2005 ini berkata, dia aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi lain, namun usahanya ini seakan dipandang sepi.
“Selama 21 tahun dalam industri, saya rasa puas dapat hasilkan lagu untuk artis-artis yang hebat seperti Shila Amzah, Alif Satar, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Hael Husaini, Ernie Zakri, Aisha Retno dan ramai lagi.
“Bila pernah bekerjasama, mereka hormat kepada saya sebagai seorang produser serta penulis lirik, dan perkara ini amat mahal sebenarnya.
“Orang yang hebat macam mereka menghargai saya, itulah perkara yang sukar dan perkara yang mahal. Ia adalah satu benda yang buat saya rasa gembira,” katanya kepada Harian Metro.
Namun pada masa sama, Amylea mengakui tidak ramai orang luar melihat dan menilai bakat dimilikinya.
“Bukan ramai pun komposer wanita di negara kita dan saya salah seorang yang aktif. Jadi sewajarnya saya terus diberi galakan untuk berkarya.
“Saya rasa macam nak kena selarikan benda ini. Saya nak promosi diri saya sebagai penulis lagu juga. Saya nak orang tahu yang Amylea ini serba boleh, seorang penyanyi, komposer dan juga penerbit.
“Memang agak jarang jumpa yang macam saya. Ada sesetengah komposer wanita, dia buat lagu untuk diri sendiri tetapi saya terbitkan lagu orang lain. Di keliling saya semua lelaki, saya seorang perempuan,” katanya.
Pada masa sama, Amylea mengakui keperitan yang dilalui sebelum sampai ke tahap sekarang.
“(Sebelum ini) saya pernah diketawakan kerana lagu. Sekarang orang nak cakap dengan kita pun, dia bagi salam dulu. Mereka sudah faham, jadi saya rasa macam gembira sangat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






