Had kelayakan diesel bersubsidi sehingga 300 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI disifatkan mencukupi untuk memenuhi keperluan majoriti pengguna diesel di Malaysia.
Data diperoleh daripada DOSM
Memetik laporan daripada Astro Awani, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan data penggunaan diesel yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sebahagian besar pengguna tidak menggunakan diesel melebihi had yang ditetapkan kerajaan.
Menurut beliau, sebanyak 95 peratus pengguna diesel di negara ini menggunakan kurang daripada 300 liter diesel setiap bulan.
“Namun, kerajaan memahami bahawa majoriti pemilik kenderaan diesel terdiri daripada pengguna kenderaan utiliti sukan (SUV), jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama bagi peniaga kecil serta penduduk di kawasan pedalaman.
“Atas pertimbangan itu, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter di bawah BUDI MADANI Diesel yang boleh dimohon oleh individu yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 300 liter sebulan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Lebih 80% purata guna 140 liter sebulan
Beliau menambah, lebih 80 peratus pengguna diesel pula menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.
Mengulas pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Amir Hamzah menjelaskan pembaharuan subsidi diesel dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion setahun.
Menurutnya, sebahagian daripada penjimatan itu disalurkan semula kepada rakyat menerusi pengurangan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
Selain itu, penggunaan mekanisme MyKad dalam sistem subsidi turut memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati manfaat subsidi bahan api yang disediakan kerajaan.
“Pada saat dunia berdepan ketidaktentuan dan risiko gangguan bekalan tenaga, kerajaan mahu memastikan bekalan diesel kekal mencukupi dalam pasaran domestik serta rakyat terus menikmati bahan api itu pada harga bersubsidi.
“Pembaharuan ini bukan sahaja menutup ketirisan dan menjamin bekalan ketika krisis, malah memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati keistimewaan subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.
Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah memaklumkan data penggunaan program BUDI RON95 menunjukkan kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter petrol secara konsisten setiap bulan, manakala lebih 99 peratus pengguna berada pada kadar penggunaan 200 liter dan ke bawah.
Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)








