'Assalamualaikum suamiku… di mana kamu?'

'Assalamualaikum suamiku… di mana kamu?'


am@hmetro.com.mmy

Kuala Lumpur: “Assalamualaikum suamiku, di mana kamu…bertahanlah, kami sekeluarga terlalu merinduimu.” rintih seorang wanita yang dikenali sebagai @azielashaharuddin di aplikasi Threads.

Dia juga isteri kepada Mohd Sani Harun, pegawai tinggi bomba yang masih gagal dikesan susulan tragedi banjir besar yang melanda Nepal pada Rabu lalu.

Memuat naik gambar bersama Mohd Sani, berlatarbelakangkan Kaabah di Mekah, @azielashaharuddin menyatakan, mereka sekeluarga masih tidak mempunyai khabar mengenai Mohd Sani dan pasukannya sejak lima hari lalu.

“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Pada saat ini, kami sekeluarga menadah tangan kepada-Mu dengan hati yang penuh harapan, penuh kerinduan dan penuh rasa takut.

“Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga kerana kami terlalu merindui-Mu, namun sehingga saat ini kami masih belum mengetahui di mana dia berada dan bagaimana keadaannya,” rintihnya hari ini.

Dalam tragedi itu, dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah antara 56 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir besar yang melanda Rasuwa, Nepal.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Hisham Mohamad sebelum ini mengesahkan kedua anggota berkenaan, Fakhrul Munir Mohamad Isa dan Muhammad Sani Harun yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM.

Mereka berada di Nepal bagi menyertai aktiviti trekking ke Everest Base Camp.

Kkedua dilaporkan pada asalnya dijadualkan berlepas ke Nepal pada 22 Ogos, namun perjalanan berkenaan diubah berikutan pertindihan dengan program lain.

Dalam perkembangan itu, @azielashaharuddin turut berdoa agar suaminya itu berusaha untuk terus bertahan dan kembali dalam keadaan selamat dan sihat ke pangkuan keluarga.

“Kembalikanlah dia kepada anak-anaknya. Kembalikanlah dia kepada saudara-maranya yang sedang menunggu. Kembalikanlah dia dalam keadaan selamat dan sihat.

“Ya Allah, jika dia sedang berusaha untuk terus bertahan, kuatkanlah dirinya. Berikanlah dia kesabaran. Berikanlah dia harapan dan bisikkanlah ke dalam hatinya bahawa pertolongan-Mu sentiasa dekat,” katanya.

Menurutnya, keluarga Mohd Sani akan terus menunggu kepulangan suaminya dan mengharapkan yang terbaik untuk pegawai bomba itu kembali bersama semula ke Malaysia.

“Janganlah Engkau biarkan hati kami kalah dengan ketakutan. Kurniakanlah kami kesabaran untuk terus menunggu dan kekuatan untuk terus berusaha. Ya Allah, Engkau tahu betapa kami merinduinya, Engkau tahu betapa kami ingin melihat wajahnya semula.

“Kami ingin memeluknya semula. Mungkin ada kata yang belum sempat kami ucapkan kepadanya. Mungkin ada perkara yg kami harap masih diberi kesempatan utk kami lakukan bersamanya.

“Ya Allah, jika masih ada ruang uuntuk kami bertemu dengannya, maka izinkanlah pertemuan itu berlaku. Izinkan kami melihat wajahnya kembali. Izinkan kami mendengar suaranya kembali.

Izinkan kami memeluknya kembali dan izinkan kami sekeluarga bersyukur kepada-Mu atas kepulangannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top