Masa Azizulhasni semakin suntuk

Masa Azizulhasni semakin suntuk


PETALING JAYA: Masa semakin suntuk buat Datuk Azizulhasni Awang untuk menentukan hala tuju kariernya selepas perkembangan terbaharu masih belum memberikan jawapan muktamad sama ada jaguh berbasikal trek negara itu akan meneruskan misi ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Situasi itu menjadi semakin kritikal menjelang kem latihan terakhir di Brisbane sebelum Sukan Asia Aichi-Nagoya, apabila pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley, sebelum ini memberi tempoh hanya beberapa hari untuk mendapatkan kepastian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Beasley berkata, Azizulhasni tidak akan menyertai kem berkenaan selain berkemungkinan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Shanghai jika tiada perbincangan terus mengenai peranannya dalam perancangan Olimpik negara.

“Terus terang, saya tidak faham mengapa KBS dan MSN masih belum bercakap secara terus dengan Azizulhasni mengenai agenda negara dan perancangan Malaysia untuknya.

“Sudah tentu tidak terlalu banyak untuk meminta kejujuran, kejelasan dan perancangan jangka panjang,” kata Beasley.

Desakan itu kini hadir dalam suasana berbeza selepas MSN menjelaskan bahawa sokongan terhadap kempen LA28 Azizulhasni masih ada, tetapi pelumba itu perlu mengemukakan program, sasaran prestasi dan anggaran perbelanjaan sebelum proses pembiayaan boleh diteruskan.

Perkembangan berkenaan bagaimanapun belum menamatkan persoalan yang dibangkitkan Azizulhasni apabila dia menerusi kenyataan panjang sembilan muka surat menggesa KBS dan MSN memberikan jawapan jelas sama ada khidmatnya benar-benar diperlukan untuk misi LA28.

Beasley percaya persoalan itu sebenarnya mudah diselesaikan kerana Azizulhasni masih mempunyai kemampuan untuk mencabar pelumba terbaik dunia dan bersedia memberikan komitmen penuh sekiranya Malaysia benar-benar mahukan khidmatnya.

“Semua orang sudah melihat apa yang masih mampu dicapai olehnya. Jika jawapannya ya, saya percaya dia akan memberikan komitmen sepenuhnya dan meneruskan misi ini,” katanya.

Dengan kem Latihan di Brisbane dijadualkan bermula hari ini, keputusan mengenai masa depan Azizulhasni kini bukan lagi sekadar soal perancangan jangka panjang kerana Sukan Asia berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober sebelum Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober yang menjadi permulaan mata kelayakan LA28.

Beasley turut memberi amaran bahawa kegagalan menyelesaikan perkara itu dalam tempoh terdekat boleh menyaksikan Azizulhasni tidak menghadiri kem pra-Sukan Asia, terlepas Kejohanan Dunia dan akhirnya mengumumkan persaraan.

“Dia tidak akan menghadiri kem latihan pra-Sukan Asia, tidak akan bertanding di Kejohanan Dunia dan akan mengumumkan persaraannya,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top