mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Setiap kali bertutur dan menghasilkan penulisan bahasa Melayu di China, Muhammad Isa Ahmad Zubir melihatnya bukan hanya sebahagian tugas sebagai hos dan penyiar, tapi juga cara membawa identiti Malaysia di bumi Tembok Besar.
Muhammad Isa yang bertugas di Jabatan Bahasa Melayu, China Media Group (CMG) di Beijing sejak Februari 2024 berkata, tinggal berjauhan ribuan kilometer dari tanah air membuatkannya semakin menghargai bahasa kebangsaan, malah berbangga menjadikannya sebagai identiti yang dibawa di negara orang.
Katanya, menggunakan bahasa Melayu dalam bidang penyiaran di China adalah satu amanah yang cukup besar selain berpeluang memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat di negara itu.
“Saya bukan membawa nama Malaysia sebagai diplomat atau wakil rasmi kerajaan tetapi hanya anak Malaysia yang bekerja dan tinggal di China.
“Setiap perkataan yang saya tuturkan di pejabat dan penulisan dihasilkan dengan penuh bangga di negara Tembok Besar ini, saya rasa seolah-olah sedang membawa sebahagian daripada Malaysia bersama saya,” katanya kepada Harian Metro.
Anak jati Sungai Besar, Selangor ini percaya, setiap anak tempatan di perantauan juga berperanan menjadi ‘duta kecil’ Malaysia dengan cara masing-masing.
“Selain bertugas, saya selalu menulis dan aktif berkongsi mengenai keindahan dan keunikan Malaysia, bahasa, budaya dan adat resam kita di media sosial.
“Saya mahu orang di China mengenali Malaysia bukan hanya kerana PETRONAS, KLCC, durian atau nasi lemak, tetapi juga kerana keindahan bahasa kita, kekayaan budaya, keramahan rakyat dan masyarakat kita yang hidup dalam kepelbagaian.
“Ini juga satu bentuk sumbangan kepada negara kita,” katanya.
Muhammad Isa berkata, pengalaman hidup di perantauan turut mengubah pengertiannya terhadap kemerdekaan yang suatu ketika dahulu sinonim dengan sambutan 31 Ogos, lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang dan kemeriahan perarakan.
“Bagi saya, kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi bermaksud kita bebas menentukan identiti sendiri, menjaga bahasa dan budaya serta mempunyai keyakinan memperkenalkan Malaysia kepada dunia,” katanya.
Katanya, pengalaman merantau turut membuatkannya lebih menghargai perkara yang dahulunya dianggap biasa termasuk makanan tempatan, suasana kampung, gurauan sesama rakyat serta keunikan budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia.
“Bila berada ribuan kilometer dari tanah air, tiba-tiba teringat lagu Negaraku, Jalur Gemilang, nasi lemak, roti canai atau sekadar mendengar orang bercakap bahasa Melayu pun boleh membuatkan hati terasa sayu, seakan-akan kita berada dekat dengan rumah.
“Kita mungkin berbeza dari segi kaum, agama, makanan dan budaya, tetapi apabila berada jauh dari tanah air, percayalah semua perbezaan itu kecil cuma hanya satu rasa yang kita ini orang Malaysia,” katanya.
Muhammad Isa berkata, kejayaan membina kerjaya yang dinikmati hari ini juga bukan semata-mata untuk kepentingan diri sebaliknya menjadi dorongan untuk membuktikan kemampuan anak Malaysia di pentas antarabangsa.
“Selama bertugas di China, selalu teringat saya datang dari sebuah negara kecil di Asia Tenggara, tetapi kita mempunyai bahasa, budaya dan identiti yang begitu kaya.
“Sebenarnya itulah motivasi untuk saya buat yang terbaik dalam kerjaya. Saya mahu membuktikan, anak Malaysia juga mampu berdiri di pentas antarabangsa, bekerja di luar negara dan membawa nama baik negara melalui bidang masing-masing,” katanya.
Namun, katanya, dalam mengejar kemajuan dan kejayaan di pentas dunia, generasi muda tidak seharusnya kehilangan identiti sebaliknya terus bangga dengan bahasa kebangsaan, budaya dan nilai yang membentuk mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Saya mungkin tinggal dan bekerja di China dan bercakap tentang dunia dari China, tetapi setiap kali saya bercakap dalam bahasa Melayu, saya tahu ada jiwa Malaysia yang saya bawa bersama.
“Walau sejauh mana pun saya pergi, Malaysia tetap tempat untuk hati saya pulang.
“Jadi, tanggungjawab kita hari ini sentiasa menjaga keamanan, perpaduan, bahasa, budaya dan maruah negara yang diwariskan kepada kita bagi memastikan generasi selepas ini menerima sebuah Malaysia yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
