CHIN Hin Group Property (CHGP) mencatatkan pencapaian penting dalam portfolio kediamannya dengan kejayaan menyiapkan struktur utama Ayanna Resort Residences di Jalan Mas, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pemaju hartanah berkata, pencapaian tersebut menandakan siapnya struktur menara kediaman projek berkenaan dan peralihan kepada peringkat akhir pembinaan, sekali gus memastikan projek kekal mengikut jadual untuk diserahkan kepada pembeli pada suku kedua 2027.
Dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 1.9 hektar, projek berkenaan merangkumi dua menara bertingkat tinggi iaitu Blok A setinggi 42 tingkat dengan 333 unit dan Blok B setinggi 44 tingkat dengan 491 unit, menjadikan keseluruhan 824 unit.
Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM732.1 juta itu direka untuk memenuhi keperluan kehidupan moden keluarga pelbagai generasi.
Projek itu mencatat kadar pengambilan sebanyak 95 peratus sebelum mencapai kemuncak struktur, mencerminkan keyakinan kukuh pasaran dan permintaan berterusan terhadap kediaman yang direka bentuk secara teliti.
Selain itu, CHGP berkata, projek yang memenangi anugerah berkenaan turut memperoleh Pensijilan GreenRE sebagai pengiktirafan terhadap reka bentuk cekap tenaga, kelestarian alam sekitar serta amalan bangunan hijau, sejajar dengan keperluan pembeli rumah masa kini yang semakin menitikberatkan aspek kelestarian.
Pengarah Eksekutif CHGP, Chang Tze Yoong berkata, kejayaan mencapai kemuncak struktur Ayanna Resort Residences merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat.
Katanya, kadar pengambilan sebanyak 95 peratus mencerminkan kepercayaan yang diberikan pembeli rumah terhadap komitmen syarikat terhadap kualiti, konsep susun atur inovatif dan penyerahan mengikut jadual.
“Kami mereka bentuk Ayanna Resort Residences dengan mengambil kira kehangatan kehidupan komuniti Malaysia, menggabungkan kemudahan riadah berkonsepkan resort dengan reka bentuk mampan serta landskap berinspirasikan alam semula jadi.
“Ketika meraikan pencapaian kemuncak struktur ini, kami kekal komited untuk menyediakan sebuah kediaman yang meriah, mampan dan menjadi tempat perlindungan yang boleh dibanggakan keluarga untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
CHGP berkata, pembangunan berkenaan menampilkan taman rekreasi seluas 0.5 hektar sebagai pusat tarikan utama, sekali gus menghidupkan semula konsep padang komuniti yang sinonim dengan masyarakat Malaysia sebagai ruang bersama untuk penduduk daripada pelbagai generasi berkumpul, bersosial dan mengeratkan hubungan.
Menurutnya, kemudahan itu dilengkapi aliran air interaktif, landskap tropika yang menghijau serta kemudahan kesejahteraan, sekali gus menawarkan pengalaman gaya hidup berinspirasikan resort untuk keluarga pelbagai generasi dalam persekitaran kediaman sendiri.
Melengkapkan pelbagai kemudahan gaya hidup yang ditawarkan, Ayanna Resort Residences turut mengetengahkan konsep inovatif ‘Semi-D in the Sky’, yang direka bagi mengatasi kompromi lazim kehidupan di bangunan bertingkat tinggi dengan menampilkan ciri kediaman separa berkembar bertanah.
“Susun atur berkenaan menampilkan dinding perimeter luaran yang dipanjangkan serta bukaan di sudut tertentu.
“Ciri reka bentuk tersebut, yang tidak terdapat pada unit kediaman bertingkat tinggi standard, membolehkan kemasukan cahaya semula jadi yang lebih banyak dan aliran udara berterusan, sekali gus mewujudkan ruang kediaman yang mempunyai pengudaraan baik serta meningkatkan privasi penghuni,” ujarnya.
Tambahnya, selepas kerja-kerja struktur selesai, tumpuan pembinaan kini beralih kepada pemasangan fasad seni bina, kemasan bahagian luar bangunan, pemasangan sistem elektrik dan mekanikal (M&E) serta kerja-kerja kemasan dalaman unit.
Pada masa sama, kerja-kerja landskap bagi taman rekreasi seluas dan hab aliran air interaktif turut akan dimulakan. – UTUSAN
