am@hmetro.com.my
Sekian lama menyepi, penyanyi Andi Bernadee kembali mencuri tumpuan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul ‘Aku Nak Kahwin’ yang disifatkan sebagai ‘anthem’ santai buat mereka yang masih menanti jodoh.
Karya ini mengangkat realiti masyarakat mengenai kesediaan seseorang untuk melangkah ke alam perkahwinan, namun masih diuji dengan harapan penantian pasangan hidup dipermudahkan.
Andi berkata, kekuatan lagu itu terletak pada mesejnya yang jujur dan terus terang selain menyentuh isu tekanan keluarga serta persekitaran yang sering dialami golongan bujang.
“Lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang terutamanya mereka yang sudah lama hidup solo.
“Dalam landskap muzik sekarang yang banyak bertemakan putus cinta atau kecurangan, ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe lebih ringan, positif dan gembira.
“Isu soalan ‘bila nak kahwin’ ketika berkumpul dengan keluarga memang relevan sampai sekarang. Bagi saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang tanpa perlu terlalu beremosi,” katanya.
Dari sudut produksi, Andi mempertaruhkan gabungan elemen nyanyian melodi dan rap bagi memberi warna berbeza terhadap naskhah berkenaan.
Walaupun kedengaran santai dan tidak terlalu berat, Andi mengakui lagu itu tetap memerlukan kawalan pernafasan yang baik serta memberi cabaran tersendiri buatnya.
Dalam pada itu, Andi mendedahkan proses menyiapkan lagu itu serta album penuhnya, ‘Ding Geding’ berdepan ujian apabila perancangan asalnya terpaksa ditangguhkan akibat masalah kesihatannya, sebelum ini.
“Tempoh itu menjadi ruang untuk saya berehat dan pulih sepenuhnya. Kini, dengan keadaan yang semakin baik, saya bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini dengan peminat.
“Status seseorang sama ada bujang atau sudah berkahwin tidak menentukan kebahagiaan kerana setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing.
“Saya harap lagu ini memberi impak positif dan menjadi pembukaan yang baik untuk album ‘Ding Geding’ nanti,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






