Angka korban gempa Myanmar meningkat kepada 3,706 orang

Angka korban gempa Myanmar meningkat kepada 3,706 orang


Istanbul: Angka kematian akibat gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar meningkat kepada 3,706 orang, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang setakat Selasa, lapor Anadolu Ajansi memetik Myanmar Now.

Gegaran kuat pada 28 Mac itu turut dirasai di negara jiran termasuk Thailand, menyebabkan bangunan Pejabat Audit Negara runtuh di Bangkok.

Menurut Bangkok Post, angka kematian akibat runtuhan bangunan meningkat kepada 44 orang pada Selasa selepas lebih banyak mayat ditemukan di lokasi kejadian.

Timbalan Gabenor Bangkok Tavida Kamolvej berkata cebisan mayat yang ditemukan dihantar kepada polis forensik untuk pengesahan identiti, sekali gus mengesahkan angka korban.

Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok, seramai 50 orang masih dilaporkan hilang di lokasi berkenaan.

Pihak berkuasa Thailand meminta kedutaan Myanmar mengumpul sampel DNA daripada penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Myanmar-Thailand bagi membantu proses pengecaman mangsa.

Pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan turut menjalankan siasatan berhubung punca runtuhan bangunan, termasuk menyemak latar belakang kontraktor dan menilai kualiti bahan binaan yang digunakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top