July 23, 2024

ANGKASA peruntukan RM30 juta, laksana lima perniagaan baharu

ANGKASA peruntukan RM30 juta, laksana lima perniagaan baharu


PETALING JAYA –  Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) akan memperuntukkan RM30 juta untuk melaksanakan lima perniagaan baharu yang berpotensi besar untuk dimajukan sebagai usaha berterusan memperkasa pertumbuhan sektor koperasi negara.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi bagi memperkukuhkan ekonomi koperasi serta meningkatkan daya saingnya di pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, perniagaan itu adalah cadangan Pelaksanaan Projek Inkubator Pusat Pemprosesan Coklat ‘Single Origin’ Bean to Bar yang akan membolehkan belian semula biji koko dibuat daripada pengusaha koko kering.

Menurut beliau, ia merupakan koperasi penanam koko bagi penghasilan produk hiliran koko dengan penjenamaan koperasi dan ANGKASA bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pada masa sama, Projek Inkubator Lembu Pedaging Fasa yang akan membolehkan ANGKASA mendapatkan bekalan lembu hidup daripada negara jiran dan menternak lembu tersebut bagi tempoh kuarantin dan kemudiannya dijual kepada koperasi penternak dan koperasi komuniti dengan harga yang kompetitif,

“Selain itu, cadangan Kemudahan Kredit Pusingan Projek Pembangunan Perniagaan Koperasi dan Projek Keterjaminan Makanan juga akan dilaksanakan selain menambah lagi 10 Pusat Dialisis baharu bagi mengembangkan perniagaan perkhidmatan rawatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa ke-38 di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah menambah, kepentingan peranan koperasi hari ini sebagai pemangkin pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan kepada negara.

“Koperasi memainkan peranan penting dalam memperkukuh pertumbuhan inklusif denganmempromosikan usaha bantu diri, kebertanggungjawaban bersama dan tadbir urus yang demokratik.

“Kelulusan projek perniagaan baharu ini akan membantu koperasi di seluruh negara untuk terus berkembang dan berdaya saing, tambahnya,” katanya.

Abdul Fattah memberitahu, ANGKASA akan kembali menganjurkan Kongres Koperasi Kebangsaan bulan depan selepas kali terakhir diadakan pada 1969.

Beliau berkata, kongres selama dua hari itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top