saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kejohanan kelayakan terakhir di Phuket, Thailand, hari ini.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, berdasarkan kepada ranking Olimpik, Aniq menduduki tempat kelapan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg apabila 12 atlet bagi setiap kategori layak secara automatik ke Paris 2024.
Aniq layak berdasarkan jumlah angkatan itu di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Aniq tidak dapat menyamai angkatan sama yang juga rekod kebangsaan di Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket apabila hanya melakukan 290kg untuk angkatan keseluruhan.
Atlet dari China Li Fabin meraih pingat emas dengan 312kg.
“Beliau telah menyertai dua kejohanan wajib dan tiga kejohanan pilihan bagi melayakkan diri ke Paris 2024 kali ini.
“Kejohanan wajib adalah di Kejohanan Dunia IWF, Riyadh pada 4 hingga 17 September 2024 dan Piala Dunia IWF di Phuket bermula 31 Mac sehingga 11 April.
“Kejohanan pilihan yang telah disertai adalah di Kejohanan Asia Jinju, Korea pada 3 hingga 13 Mei 2023; IWF Grand Prix 1 di Paris, Havana, Cuba 2024 pada 8 hingga 18 Jun dan IWF Grand Prix II, Doha, Qatar pada 4 hingga 14 Disember 2023,” kata Ayub.
Untuk rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio de Janeiro 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.
© New Straits Times Press (M) Bhd