April 23, 2024

UMNO Sabah kenal pasti calon muka baharu untuk 23 DUN bagi PRN17


KOTA KINABALU – UMNO Sabah telah mengenal pasti muka baharu untuk diketengahkan sebagai calon bagi bertanding di 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17 ) Sabah akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya belum bersedia mendedahkan nama calon-calon muka baharu yang turut terdiri daripada anak muda buat masa ini kerana tapisan masih dijalankan.

“Kita juga meminta mereka (calon muka baharu berpotensi) untuk selalu turun padang berjumpa rakyat di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi tahu siapa calon kita.

“Kita akan mempertimbang setiap calon muka baharu ini sebaiknya kerana hakikatnya politik memerlukan proses panjang. Kita mesti menampilkan calon muka baharu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti. Kriteria yang saya tetapkan iaitu disukai rakyat, boleh menang dan berintegriti.

“Selain itu, tidak melompat parti dan tidak terpengaruh dengan materialistik. Kita akan ‘ikat’ mereka kuat-kuat supaya tidak melompat parti. Kita akan pilih yang jiwanya teguh untuk perjuangan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media dan anak-anak istimewa di sini, malam ini.

Baru-baru ini, Bung Moktar dilaporkan sebagai berkata UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 23 kawasan DUN untuk dimenangi dalam PRN Sabah akan datang dan sehubungan itu, UMNO Sabah giat melakukan siri jelajah ke kawasan disasarkan.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata beliau bersedia untuk melepaskan kawasan itu kepada calon muka baharu sekiranya ada individu yang boleh memperkukuh dan memperkuat UMNO termasuk di kawasan berkenaan.

“Tetapi, sebagai ketua panglima, saya rasa tidak boleh panglima ‘gostan’,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata UMNO Sabah akan mempertimbang kerjasama dengan mana-mana parti, yang penting mesti ikhlas, berintegriti, mampu memberi kekuatan kepada parti dan tidak mengingkari perjanjian yang telah dilaksanakan.

Dalam PRN16 pada September 2020, UMNO/Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu bertanding di 31 daripada 73 kerusi DUN. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top