Anjing robot kawal keselamatan petugas FIFA

Anjing robot kawal keselamatan petugas FIFA

Anjing robot kawal keselamatan petugas FIFA


Dallas: Anjing robot berteknologi tinggi bakal digunakan untuk membantu melindungi kakitangan FIFA sepanjang Piala Dunia 2026 yang bermula minggu depan.

Rakaman video yang mengagumkan menunjukkan anjing robot tersebut beraksi menjelang sepak mula kejohanan itu. Robot berkenaan akan ditempatkan di Pusat Penyiaran Antarabangsa FIFA (IBC) di Dallas, Amerika Syarikat.

Dalam video yang dikongsikan oleh Sky Sports, anjing robot itu kelihatan meronda menggunakan empat kaki seperti anjing sebenar dan turut mempamerkan pergerakan seakan menari.

Teknologi tersebut dibangunkan oleh Hyundai, salah satu penaja rasmi kejohanan.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang melawat IBC di Kay Bailey Hutchison Convention Center minggu ini, memuji penggunaan teknologi tersebut.

“Memang luar biasa berada di Dallas di Pusat Penyiaran Antarabangsa yang hebat ini. Ia semakin maju dari semasa ke semasa.

“Terdapat lebih banyak teknologi, kuasa AI, tenaga pakar dan profesional. Sungguh menakjubkan melihat betapa banyak kerja, semangat, kepakaran dan input teknologi bertaraf tinggi dicurahkan untuk membawa Piala Dunia FIFA kepada berbilion peminat di seluruh dunia,” katanya.

Menurut Infantino, kebanyakan penonton yang menonton perlawanan di televisyen mungkin tidak menyedari bahawa ribuan individu bekerja di belakang tabir untuk memastikan kejohanan itu dapat disiarkan dengan lancar ke seluruh dunia.

Menerusi hantaran di Instagram, Infantino mengumumkan Pusat Penyiaran Antarabangsa Piala Dunia 2026 di Dallas kini rasmi dibuka.

Beliau berkata pusat itu akan menjadi “jantung” kepada edisi Piala Dunia terbesar dan paling inklusif dalam sejarah.

“Keterujaan semakin memuncak menjelang sepak mula. Kami sedang membuat persiapan untuk 48 pasukan, 104 perlawanan dan jutaan peminat yang akan berkumpul di seluruh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.”

Bandar Dallas akan menjadi tuan rumah sembilan perlawanan, jumlah tertinggi berbanding bandar penganjur lain.

Selain berfungsi sebagai pusat operasi penyiaran, IBC turut menempatkan bilik operasi Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR).

Infantino turut mendedahkan beliau berpeluang melihat beberapa inovasi terbaharu yang akan digunakan sepanjang kejohanan.

Antaranya ialah teknologi rondaan robotik Security Spot keluaran Hyundai yang menggunakan anjing robot untuk membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terjamin bagi pemain, pegawai, kakitangan serta penyokong.

Penggunaan robot keselamatan itu menjadi antara simbol bagaimana Piala Dunia 2026 bakal menjadi kejohanan paling berteknologi tinggi dalam sejarah bola sepak dengan gabungan kecerdasan buatan (AI), sistem VAR dan automasi keselamatan bagi menyokong penganjuran kejohanan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top