BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara serentak bagi membolehkan rakyat membuat pilihan gabungan politik mana dimahukan mereka.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibuat beberapa hari selepas Johor bukti gabungan berkenaan tidak takut berdepan Barisan Nasional (BN).
“Pada konvensyen PH di Johor Bahru, 17 Mei lalu, saya cadangkan kalau Johor bubar, Negeri Sembilan juga bubar. Jika BN Johor lawan 56, kerusi DUN, PH Negeri Sembilan akan lawan 36 kerusi DUN.
“Johor bubar pada 1 Jun, esoknya Negeri Sembilan belum bubar, ramai ejek saya, ejek PH kata bila mahu bubar. Kita sabar dua hari, di Negeri Sembilan ada proses, perlu dapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan kemudian bubar DUN pada 4 Jun. Yang penting kita mahu PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan serentak, kita lawan di Johor dan Negeri Sembilan sama-sama. Sekarang ‘the game is on’,” katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam ini.
Tambah Setiausaha Agung DAP itu, kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai dasar dan polisi yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Ini termasuklah subsidi petrol yang masih dikekalkan RM1.99, seorang dapat 200 liter. Kita minta rakyat lihat fakta, satu dunia naikkan harga minyak tetapi di Malaysia kita turunkan harga minyak.
“Jika mahu perkara itu dikekalkan, maka kita kena pastikan politik di Putrajaya kekal stabil. Untuk itu rakyat Johor dan Negeri Sembilan perlu berikan sokongan dan undi kepada PH supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dapat pimpin Malaysia,” katanya. – UTUSAN






