KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah peningkatan mendadak kes penipuan pelaburan dan ketidaktentuan pasaran, ketersediaan platform pelaburan yang telus dan boleh dipercayai menjadi lebih kritikal berbanding sebelum ini.
Sehubungan itu, Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) dengan sokongan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini menganjurkan Anugerah Dana PRS 2026 bertujuan mengiktiraf dana Skim Persaraan Swasta (PRS) dengan prestasi terbaik sepanjang tahun 2025 dan tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ia sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat dalam memilih dana yang terbukti berprestasi tinggi dalam persekitaran pasaran pelaburan yang kian mencabar.
Pengerusi PPA, Datuk Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid, menegaskan bahawa sistem kawal selia yang ketat melalui institusi berlesen membolehkan pelabur menikmati pulangan mampan tanpa mengabaikan aspek keselamatan modal.
Prestasi dana atasi penanda aras pasaran
Mengungguli pencapaian tahun 2025, Dana Public Mutual PRS Islamic Strategic Equity dinobatkan sebagai penerima anugerah Emas bagi kategori Dana Berprestasi Terbaik untuk Strategi Khas 2025 selepas mencatatkan pulangan sebanyak 21.3 peratus.
Prestasi tersebut jauh mengatasi penanda aras tempatan, FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composite Index (FBM KLCI), yang hanya merekodkan pertumbuhan sekitar 2.4 peratus bagi tempoh sama.
Selain kategori ekuiti, dana konservatif turut menunjukkan daya tahan dengan RHB Retirement Series Conservative merangkul Emas bagi kategori Dana Paling Konsisten (Strategi Konservatif) 2023-2025 dengan pulangan tahunan 6.43 peratus.
Bagi kategori Pengendali Paling Konsisten bagi tempoh 2023 hingga 2025, Public Mutual Berhad menduduki tempat teratas dengan memenangi pingat Emas menerusi enam dana miliknya.
Ia diikuti Principal Asset Management Berhad bagi pingat Perak dan RHB Asset Management bagi pingat Gangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar Jamingan, berkata pihaknya komited dalam melindungi simpanan ahli melalui pemantauan prestasi yang efektif bagi semua dana di bawah PRS.
“Dengan sokongan SC, kami sedang berusaha menambah baik mekanisme PRS untuk memperluas skop instrumen yang layak supaya ahli boleh memegang instrumen kewangan tersenarai seperti Dana Dagangan Bursa (ETF) dan saham individu pada masa hadapan.”
“Langkah ini membolehkan mereka membina portfolio persaraan yang benar-benar pelbagai,” katanya.
Pelaburan jangka panjang
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Principal Asset Management Berhad, Munirah Khairuddin, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan atas usaha berterusan syarikat dalam memperluas keselamatan kewangan.
RHB Asset Management pula mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran ekuiti tempatan bagi jangka panjang, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prospek Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang memberangsangkan dalam sektor bernilai tinggi seperti pusat data.
Untuk rekod, setakat tahun 2025, aset di bawah pengurusan (AUM) PRS telah berkembang sebanyak 16 peratus kepada RM8.8 bilion dengan jumlah keahlian melebihi 671,000 orang.
Menerusi pengiktirafan ini, Tengku Aizan berharap agar masyarakat lebih peka dan teliti dengan pemilihan dana pelaburan persaraan demi menjamin masa depan kewangan yang lebih selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






