July 27, 2024

Anwar lawat Kompleks Imam Hazrati

Anwar lawat Kompleks Imam Hazrati


TASHKENT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Kompleks Imam Hazrati di sini, Sabtu, yang menyimpan manuskrip asal Al-Quran Khalifah Uthman (Mashaf Uthmani), yang tertua di dunia.

Kompleks Imam Hazrati merupakan pusat keagamaan Tashkent yang menempatkan beberapa masjid yang telah dipulihara dengan baik, muzium madrasah dan tempat-tempat ziarah lain.

Ia adalah monumen seni bina sejak abad ke-16 hingga ke-20. Kompleks ini mempunyai perpustakaan manuskrip timur yang sangat kaya, juga naskah Al-Quran Khalifah Uthman Affan yang terkenal di seluruh dunia.

Perdana Menteri dalam catatan di Facebooknya berkata ketibaan beliau dan delegasi Malaysia disambut oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan Hamid Bahrom yang terus membawanya ke sebuah perpustakaan seliaan Lembaga Muslim Uzbekistan di dalam kompleks itu

“Alhamdulillah, berpeluang melihat sendiri naskhah Al-Quran yang dihasilkan atas perintah Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646. Imam Hamid memaklumkan ini adalah satu-satunya daripada enam Al-Quran yang masih kekal.

“Imam Hamid turut maklumkan bahawa inilah juga Al-Quran yang dibaca Saidina Uthman tatkala beliau dibunuh, bahkan masih ada kesan titisan darah Saidina Uthman di halaman surah Al-Baqarah di dalam Al-Quran ini,” katanya.

Anwar berkata beliau dimaklumkan oleh Imam Hamid bahawa Kerajaan Uzbekistan sedang membangunkan Pusat Ketamadunan Islam dan apabila siap, Al-Quran ini bersama kandungan lain dalam perpustakaan itu akan dipindahkan ke sana.

“Saya kagum dengan kesungguhan Kerajaan Uzbekistan dan penduduknya memelihara artifak-artifak sejarah yang begitu penting bagi dunia Islam,” katanya.

Selepas lawatan ke Kompleks Imam Hazrati Perdana Menteri terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent untuk ke Samarkand dengan diiringi Perdana Menteri Uzbekistan Abdulla Nigmatovich Aripov.

Di Samarkand Perdana Menteri dan delegasi Malaysia melawat makam Imam Bukhari, seorang ahli hadis yang termasyhur.

Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan di Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia Peringkat Tinggi di Silk Road Samarkand Complex.

Anwar tiba sini pada Jumaat bagi lawatan rasmi tiga hari di Uzbekistan.

Antara anggota delegasi Malaysia sewaktu lawatan di Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top