Apa yang dinikmati DAP ketika ini adalah hasil usaha pemimpin MCA – Ka Siong

Apa yang dinikmati DAP ketika ini adalah hasil usaha pemimpin MCA – Ka Siong


KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan DAP bahawa parti itu tidak berbuat apa-apa untuk masyarakat Cina selain membawa imej tidak mengutamakan kepentingan kaum tersebut.

Ka Siong berkata, dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang bahawa MCA lebih membawa imej ‘parti tauke’ yang kepentingannya lebih kepada golongan kaya dan mempunyai jawatan sahaja seolah-olah merendahkan jasa dan sumbangan parti tersebut sejak kemerdekaan lagi.

Jelas beliau, apa yang dinikmati oleh DAP ketika ini adalah hasil usaha pemimpin MCA sejak dulu.

“Apa yang tidak ada? Hak kerakyatan, hak mengundi yang sedang dinikmati oleh DAP juga diperjuangkan oleh MCA, adakah mereka sudah lupa? Sejak kemerdekaan kita berjuang.

“Kalau kata MCA tidak berbuat apa-apa, sekurang-kurangnya dia ada hak untuk mengundi, betul? Hak untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Jangan kata kita tidak buat apa-apa, sungguh menyakitkan hati sahaja,” katanya dalam laman media sosial.

Ka Siong berkata, kejayaan demi kejayaan dicapai oleh dua universiti dibiayai MCA iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

Kata beliau, institusi itu telah melahirkan 383,000 graduan yang  membuktikan sumbangan parti itu kepada negara.

Tambah Ka Siong, MCA kini bertindak sebagai semak dan imbang kerajaan dan bertanggungjawab menjaga keharmonian kaum.

“Anthony nafi sumbangan MCA kerana kita tidak ikut rentak DAP. Mereka mahukan Malaysia Malaysia, kita tak setuju sangat. Kemudian mereka mempunyai Deklarasi Setapak pada tahun 1960-an mahukan persamaan antara kaum dan jangan ada perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera.

“Kemudian DAP mahu menghapuskan sistem kuota. Tengok, apa yang mereka lihat pada MCA, ini adalah kayu pengukurnya, ya, kita tak dapat ikut rentak mereka (DAP) buat semua ini. Sekarang kamu berkuasa bukan, buat apa yang patut,” ujarnya.

Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengeluarkan kenyataan itu dalam wawancara podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top