July 27, 2024

Lima terbunuh serangan di pusat beli-belah Australia

Lima terbunuh serangan di pusat beli-belah Australia


SYDNEY: Lima orang terbunuh dalam serangan pisau di sebuah pusat beli-belah yang sibuk di pinggir pantai Sydney di Bondi hari ini.

Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke Westfield Bondi Junction sejurus sebelum pukul 4 petang (waktu tempatan).

Penyerang bersenjatakan pisau itu dilaporkan ditembak mati oleh polis di tempat kejadian namun motif serangan masih belum diketahui.

Polis Australia berkata, suspek dipercayai bertindak bersendirian dan tiada ancaman berterusan dilaporkan.

Menurut jurucakap Ambulans New South Wales, lapan pengunjung yang cedera termasuk seorang ibu dan bayinya dibawa ke hospital dengan sebilangan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan seorang lelaki memakai jersi liga ragbi Australia berlari mengelilingi kompleks beli-belah enam tingkat itu sambil menggenggam sebilah pisau besar dengan mangsa yang parah terbaring di atas lantai.

Saksi berkata, orang ramai yang panik bertempiaran lari dengan beberapa keluarga sempat berlindung di kedai-kedai berhampiran ketika polis cuba mengamankan kawasan itu.

Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales, Tony Cooke berkata, pusat beli-belah itu sudah ditutup dan menggesa orang ramai untuk mengelak kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyuarakan rasa sedih dan terkejut dengan serangan sedemikian yang disifatkan jarang berlaku di negara itu.-AFP/AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top