yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Aplikasi Mobile Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak (Mobile eCOSS) dikenal pasti berkesan membantu mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) di pasaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, hasil itu dikenal pasti melalui pemantauan ke atas pelaksanaan rintis aplikasi berkenaan, sejak Mei tahun lalu.
Beliau berkata, terapat dua indikator mengukur keberkesanan aplikasi itu iaitu keberadaan bekalan minyak masak paket di pasaran dan kaedah memastikan warga asing tidak memiliki akses kepada barangan terbabit.
Katanya, seramai 5.261 juta rakyat tempatan juga sudah berdaftar dan menggunakan Mobile eCOSS, membabitkan pembelian purata 18 juta sebulan, sehingga Jumaat lalu.
“Seramai 4.19 juta rakyat Johor yang menjadi negeri rintis aplikasi ini sudah mendaftar, membabitkan 2,822 peruncit dengan 39 peratus atau 1,093 daripada angka ini menggunakan Mobile eCOSS.
“Kita juga meneliti aduan berpandukan dua indikator dinyatakan dengan bilangan kes dilaporkan merekodkan penurunan kepada dua sahaja pada Jun lalu, berbanding sembilan yang difailkan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Bilangan aduan termasuk isu keberadaan minyak masak paket bersubsidi di Johor berkurangan secara agak ketara, manakala sebanyak 1,350 barangan ini terjual pada Jun 2025.
“Selain itu, 1.96 juta paket minyak masak terjual selepas 580,000 rakyat Johor memuat turut dan menggunakan Mobile eCOSS,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai keberkesanan pelaksanaan Mobile eCOSS bagi mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi serta langkah menangani aduan rakyat.
Menjawab soalan tambahan Fuziah berkata, kementerian bercadang menggunakan kad pengenalan baharu dengan ciri terkini iaitu kod QR sebagai alternatif penggunaan Mobile eCOSS.
Beliau berkata, syor itu bertujuan membantu mengatasi masalah capaian internet bagi pengoperasian aplikasi berkenaan.
“Sesi libat urus berterusan dilakukan kementerian dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak peruncit nanti untuk melaksanakannya tetapi ianya dalam proses yang kita sedang lakukan.
“Kita sebenarnya memerlukan peranti boleh membaca MyKAD seperti dalam (pelaksanaan) SARA (Sumbangan Asas Rahmah) yang hanya untuk kegunaan penerima SARA dan STR (Sumbangan Tunai Rahmah).
“Jadi, bukan penerima SARA atau STR tidak boleh beli minyak masak (paket bersubsidi satu kilogram),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






