‘Appasia patut tuntut peminjam, bukan pemegang jawatan KLFA’ – Syed Yazid


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Syed Yazid Syed Omar menegaskan pihak yang mengambil dan menjamin pinjaman pada 2022 sepatutnya menjadi sasaran tuntutan terlebih dahulu, bukannya pemegang jawatan persatuan ketika ini.

Syed Yazid berkata, antara asas utama permohonan untuk membatalkan saman RM1.04 juta yang difailkan Appasia Capital Sdn Bhd ialah kewujudan jaminan peribadi yang ditandatangani individu terbabit dalam transaksi pinjaman itu.

“Pihak plaintif sejak awal mengetahui siapa yang menandatangani jaminan persendirian tersebut sebagai jaminan atau cagaran. Namun pihak-pihak itu tidak dinamakan sebagai defendan untuk menuntut jumlah hutang yang dikatakan terhutang,” katanya dalam afidavit sokongan kepada Sukan Sinar.

Beliau mengulas mengenai saman Appasia yang difailkan pada 16 Mei 2025 menuntut lebih RM1.04 juta berhubung pinjaman RM1 juta yang didakwa diberikan kepada KLFA pada 2022, selain faedah dan kos.

Syed Yazid menjelaskan bahawa dokumen bertarikh 15 Julai 2022 tersebut ditandatangani bekas presiden dan setiausaha agung KLFA, malah mantan presiden turut bertindak selaku penjamin bersama bekas ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur (KL) City FC.

Menurutnya, dokumen berkenaan bukan sekadar meletakkan kedua-dua individu itu sebagai penjamin, malah memperuntukkan mereka bertindak sebagai Principal Debtor bagi obligasi pembayaran yang berkaitan dengan pinjaman berkenaan.

“Perenggan 1.2 memberi kuasa kepada plaintif untuk membuat tuntutan kepada penghutang prinsipal bagi jumlah hutang yang dikatakan gagal dibayar oleh peminjam,” katanya.

Tambahnya, kewujudan mekanisme tersebut menunjukkan Appasia mempunyai saluran kontrak yang boleh digunakan untuk mendapatkan semula jumlah yang didakwa masih tertunggak.

Beliau turut mempersoalkan tindakan menyaman pemegang jawatan KLFA semasa sedangkan mereka bukan pihak yang menandatangani perjanjian pinjaman asal pada 2022.

“Plaintif mempunyai pelbagai jalan dan remedi lain yang boleh dituntut untuk mendapatkan bayaran tertunggak daripada perjanjian pinjaman tersebut sebelum tuntutan di mahkamah dibuat,” katanya.

Selain jaminan peribadi, Syed Yazid berkata, Appasia juga mempunyai Deed of Assignment (DOA) yang ditandatangani pada tarikh sama dengan perjanjian pinjaman.

Menurutnya, DOA berkenaan menyediakan mekanisme mendapatkan semula hutang melalui sebuah hartanah yang dijadikan sekuriti sekiranya berlaku kegagalan pembayaran.

“Peruntukan kuasa tersebut semestinya boleh diambil plaintif terlebih dahulu tanpa perlu memfailkan tuntutan dan menggunakan proses mahkamah,” katanya.

Syed Yazid berkata, proses mahkamah sepatutnya menjadi pilihan terakhir sekiranya segala kaedah pemulihan yang tersedia dalam dokumen perjanjian gagal menghasilkan penyelesaian.

Dalam alasan lain, beliau turut mempertikaikan kesahan perjanjian pinjaman kerana didakwa tidak mendapat kelulusan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) KLFA.

Beliau berkata, berdasarkan rekod KLFA yang boleh diaksesnya, tiada mesyuarat EXCO diadakan bagi membincangkan atau meluluskan pinjaman tersebut ketika ia dibuat.

“Tiada apa-apa mesyuarat yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif berkenaan pinjaman yang hendak atau akan dibuat pada masa material tersebut dan tiada keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif,” katanya.

Syed Yazid turut mendakwa tiada keputusan Kongres yang meluluskan pinjaman berkenaan, sedangkan Statut KLFA memperuntukkan perkara tertentu berkaitan pinjaman perlu mendapat pertimbangan badan persatuan yang berkenaan.

Perjanjian pinjaman bertarikh 15 Julai 2022 itu ditandatangani mantan presiden KLFA bersama setiausaha agung ketika itu dan seorang lagi individu.

Syed Yazid mendakwa ketiga-tiga individu itu tidak mempunyai mandat yang sewajarnya untuk memasuki perjanjian berkenaan bagi pihak KLFA tanpa kelulusan badan yang ditetapkan dalam Statut persatuan.

Menurut laporan The Edge Malaysia, Appasia mendakwa KLFA hanya membayar RM406,000 antara 15 Julai 2022 hingga 31 Januari 2025, selain mengambil pinjaman tambahan RM250,000 pada Disember 2022.

Syed Yazid bersama beberapa pemegang jawatan KLFA semasa kini memohon Mahkamah Tinggi membatalkan saman tersebut atas alasan antaranya tuntutan itu tidak sepatutnya dikenakan terhadap mereka.

Selain Syed Yazid turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Presiden KLFA, Datuk Kamaruddin Hassan; naib presiden Wong Yeon Chai, Sham Shamrat Sen Gupta, Ramlan Shahean Askolani, Nor Asyikin Jaafar dan Hishamudin Yahya serta bendahari Mohd Zaki Hairudin.

Kes berkenaan ditetapkan untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani pada 17 September depan.



Source link

OR

Scroll to Top