ARAB SAUDI menyatakan kesediaannya untuk menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034 sekiranya kejohanan tersebut diperluas kepada 64 pasukan.
Pada Disember lalu, negara Teluk itu disahkan sebagai tuan rumah bagi edisi 2034 selepas mengemukakan bidaan tunggal.
Menurut Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Faisal, negaranya mampu menganjurkan kejohanan yang lebih besar dan berskala tinggi.
Edisi Piala Dunia tahun hadapan yang akan berlangsung di Amerika Utara bakal menjadi edisi pertama melibatkan 48 pasukan – peningkatan daripada format 32 pasukan yang diguna pakai sejak tahun 1998 hingga 2022.
“Kami sudah bersedia, atau akan bersedia, Insya-ALLAH. Jika itu keputusan yang dibuat oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan mereka merasakan ia keputusan terbaik untuk semua pihak, maka kami amat berbesar hati untuk merealisasikannya,” ujar Putera Abdulaziz kepada pada Ahad.
Cadangan untuk memperluaskan Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan datang terutamanya daripada negara-negara di Amerika Selatan.
Presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez, menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut awal bulan ini.
Ia susulan cadangan rasmi yang dikemukakan oleh pegawai Uruguay, Ignacio Alonso dalam mesyuarat Majlis FIFA pada Mac lalu.
Menurut Dominguez, edisi 2030 perlu diraikan secara besar-besaran bersempena ulang tahun ke-100 kejohanan sulung Piala Dunia yang diadakan di Uruguay pada tahun 1930.
Uruguay, Argentina (juara edisi 2022) dan Paraguay – negara tempat terletaknya ibu pejabat CONMEBOL – dijadualkan menjadi tuan rumah bagi satu perlawanan setiap negara pada permulaan kejohanan 2030.
Baki 101 perlawanan dalam kejohanan 48 pasukan itu akan berlangsung di Maghribi, Portugal dan Sepanyol.
Bagaimanapun, cadangan peluasan kejohanan kepada 64 pasukan turut menerima kritikan.
Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Sementara ity, Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf), Victor Montagliani turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut.
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ibrahim – yang turut mewakili Arab Saudi – turut menolak cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa temasya hanya akan mencetuskan kekacauan.
Pengembangan format daripada 32 kepada 48 pasukan menyaksikan peningkatan jumlah perlawanan daripada 64 kepada 104.
Sekiranya kejohanan diperluaskan kepada 64 pasukan, jumlah perlawanan dijangka meningkat lebih tinggi.
Sebarang perubahan format Piala Dunia perlu mendapat kelulusan Majlis FIFA iaitu badan pembuat keputusan yang dianggotai oleh 37 orang ahli.
Format 48 pasukan yang akan digunakan bermula tahun hadapan telah pun diluluskan secara sebulat suara pada tahun 2017.
Satu lagi persoalan penting yang masih belum terjawab berkaitan Piala Dunia 2034 ialah sama ada Arab Saudi akan menganjurkan kejohanan pada musim sejuk, sebagaimana dilakukan oleh Qatar pada tahun 2022 bagi mengurangkan kebimbangan terhadap suhu tinggi.
Putera Abdulaziz menyatakan bahawa keputusan berhubung waktu penganjuran masih dalam perbincangan bersama FIFA.
“Keputusan itu terletak pada pihak FIFA untuk menentukan masa yang paling sesuai.
“Kami sedang membuat persiapan rapi bagi memastikan kejohanan berlangsung pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira pengalaman peminat, keadaan cuaca dan pelbagai faktor lain.
“Memang diakui ia satu cabaran besar untuk menganjurkan dua acara besar dalam tahun yang sama iaitu Piala Dunia dan Sukan Asia 2034.
“Namun, saya percaya kedua-dua pihak, sama ada FIFA mahupun Majlis Olimpik Asia (OCA) bersedia untuk berbincang demi memastikan pengalaman terbaik buat para peminat dan semua pihak yang terlibat,” tambah beliau.