Paris: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan denda sebanyak 150,000 Swiss franc (RM800,000) ke atas Persatuan Bolasepak Israel (IFA) susulan kegagalan menangani isu diskriminasi dalam bola sepak negara itu.
Menurut laporan jawatankuasa disiplin FIFA, IFA didapati gagal mengambil tindakan berkesan terhadap kelab Beitar Jerusalem yang dikaitkan dengan tingkah laku perkauman berulang.
Laporan itu turut menyebut penyokong kelab terbabit sering melaungkan slogan berunsur perkauman dan penghinaan terhadap pemain Arab, sekali gus mencemarkan imej sukan berkenaan.
FIFA menegaskan tindakan diambil oleh IFA sebelum ini disifatkan tidak mencukupi dan gagal memenuhi piawaian ditetapkan badan induk dunia itu.
Selain denda, IFA turut diberikan amaran serta diarahkan memaparkan mesej ‘Football Unites the World – No to Discrimination’ dalam tiga perlawanan antarabangsa seterusnya di laman sendiri.
Sebahagian daripada denda itu juga perlu digunakan bagi melaksanakan pelan tindakan khusus untuk membanteras diskriminasi dan mengelakkan kejadian sama berulang.
Isu itu timbul selepas Persatuan Bolasepak Palestin membuat aduan pada 2024 berhubung dakwaan diskriminasi, namun FIFA tidak menggantung IFA seperti yang diminta.
Dalam perkembangan sama, FIFA turut memaklumkan pihaknya tidak dapat membuat keputusan berhubung penyertaan kelab Israel yang berpangkalan di Tebing Barat dalam liga domestik, berikutan status wilayah itu yang masih kompleks dari sudut undang-undang antarabangsa.
IFA dalam reaksinya menegaskan mereka sudah mengambil langkah menangani isu perkauman, walaupun kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum.
Kes itu sekali lagi menimbulkan persoalan terhadap usaha memerangi diskriminasi dalam bola sepak di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd






