London: Arsenal membelasah Bayern Munich 3-1 dalam pertembungan membabitkan pendahulu liga England dan Jerman awal pagi tadi, sekali gus mengekalkan rekod sempurna mereka di kempen Liga Juara-Juara musim ini.
The Gunners menguasai babak kedua selepas pemain tengah Bayern berusia 17 tahun, Lennart Karl, menyamakan kedudukan untuk memadam jaringan pembukaan Jurrien Timber pada separuh masa pertama.
Noni Madueke membuka akaun jaringannya untuk pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi mengembalikan kelebihan, sebelum rakan sepasukan, Gabriel Martinelli memanfaatkan kesilapan besar penjaga gol, Manuel Neuer.
Kapten England, Harry Kane yang juga bekas pemain Tottenham, mengharungi malam yang hambar dalam kepulangannya ke London, hampir tidak memberi impak walaupun memiliki rekod jaringan luar biasa bersama juara Eropah enam kali itu.
“Lihat sahaja Bayern Munich musim ini, mereka antara pasukan terbaik di Eropah,” kata pemain tengah Arsenal, Declan Rice kepada TNT Sports.
“Ini mungkin perlawanan paling sukar dari segi taktikal yang kami hadapi musim ini. Cara mereka bermain sangat-sangat baik,” katanya lagi.
Rice berkata musim ini dirasakannya berbeza berbanding musim lalu, ketika Arsenal sekali lagi gagal muncul juara dan menamatkan saingan di tempat kedua Liga Perdana untuk tiga musim berturut-turut.
“Terdapat ramai pemimpin dalam pasukan. Kami ambil satu perlawanan pada satu masa. Ada rasa ghairah dan keinginan untuk menang setiap perlawanan.
“Perjalanan masih jauh…jangan terlalu terbuai dengan kejayaan ini,” katanya.
Bayern memulakan perlawanan di Emirates sebagai pendahulu kumpulan Liga Juara-Juara, sedikit mengatasi Arsenal, dengan kedua-dua pasukan menang kesemua empat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





