Arsenal perlu waspada kebangkitan Real Madrid

Arsenal perlu waspada kebangkitan Real Madrid


BEKAS pemain pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo menegaskan bahawa pasukan gergasi Sepanyol itu boleh melakar kebangkitan walaupun berdepan defisit tiga gol menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal, awal pagi Khamis ini.

Dalam perlawanan pertama di Stadium Emirates minggu lalu, dua sepakan percuma menakjubkan daripada Declan Rice dan jaringan Mikel Merino mengejutkan skuad kendalian Carlo Ancelotti, sekali gus memberikan kelebihan selesa buat The Gunners.

Namun bagi Marcelo yang pernah menjulang lima trofi Liga Juara-Juara bersama Los Blancos, keajaiban sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA kelab itu.

“Real Madrid tidak boleh dipinggirkan. Walaupun tiga gol itu satu jurang besar, saya tetap percaya mereka mampu bangkit.

“Real Madrid tetap Real Madrid. Mereka selalu kembali dalam perlawanan-perlawanan besar,” katanya.

Marcelo kini berada di Mexico bagi menyertai aksi Club Legends Clásico yang menghimpunkan bekas pemain Real Madrid dan Barcelona.

Tambah bekas kapten pasukan itu, kelebihan beraksi di Santiago Bernabeu pada aksi timbal balik nanti turut menjadi dorongan besar buat skuad Los Blancos.

“Bermain di Bernabeu sangat berbeza. Sokongan padu daripada penyokong pasti menjadi pembakar semangat. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, tapi dengan keyakinan dan kepercayaan, Real Madrid akan cuba sedaya upaya,” katanya.

Marcelo turut menyifatkan semangat juang tinggi yang dimiliki setiap pemain Real Madrid bukan sesuatu yang lahir secara kebetulan, sebaliknya diasah sejak awal menyarung jersi putih keramat itu.

“Sebaik sahaja kami menyertai Real Madrid, kami diajar untuk tidak pernah menyerah kalah. Ia sudah menjadi darah daging kami sejak sekian lama.

“Kejayaan datang daripada kerja keras, rendah diri, dedikasi setiap hari dan tentunya sokongan penyokong,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top