DOMINASI Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak tanah air terus mencetuskan kekaguman apabila pasukan Harimau Selatan itu sekali lagi mencatatkan musim 2024-2025 penuh gemilang merangkumi kejayaan skuad senior serta barisan pasukan pembangunan mereka.
Untuk musim ini, JDT mengekalkan keunggulan apabila menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, selain mempertahankan Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Tidak terhenti di situ, kecemerlangan turut diteruskan oleh pasukan futsal JDT yang menyapu bersih dua trofi utama iaitu Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia.
Kejayaan JDT turut terserlah di peringkat pembangunan apabila JDT II memenangi Piala MFL, JDT III menjuarai Piala Presiden, dan JDT IV mengungguli Piala Belia.
Di peringkat lebih bawah, skuad Bawah 17 Tahun (B-17) JDT mencipta impak apabila memenangi Kejohanan MSSM serta Liga Piala Remaja KPM-FAM.
Skuad B-15 pula menawan Kejohanan Remaja La Liga, Liga Remaja Singapura dan turut muncul juara MSSM.
Kejayaan itu diteruskan lagi dengan skuad B-14 yang menjuarai Piala Supermokh, manakala pasukan JDT B-13 menawan Liga Remaja Singapura dan JDT B-12 pula mencipta nama di Kejohanan Remaja La Liga.
Mengulas kejayaan tersebut, pemilik JDT Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil perancangan yang rapi serta komitmen berterusan kelab dalam membangunkan bola sepak dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.
“Apabila kepala betul, ekor pun betul. Kejayaan berterusan sepanjang 12 tahun di dalam dan luar padang.
“Kejuaraan dari pasukan senior hingga pasukan-pasukan junior, kejayaan di peringkat antarabangsa dan domestik, infrastruktur, dan pembangunan pemain muda.
“Rekod-rekod dan fakta yang tidak boleh dipertikaikan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
JDT kini selangkah lagi untuk melengkapkan koleksi kejuaraan musim ini apabila bakal berentap dengan Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April ini.
OR