Menang di Anfield, aura trofi EPL menuju ke Liverpool

Menang di Anfield, aura trofi EPL menuju ke Liverpool


PENGENDALI Liverpool, Arne Slot tidak mengambil peduli lokasi pasukannya akan mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meluahkan kelegaan melihat The Reds mengambil langkah ke depan untuk merangkul gelaran tersebut.

Liverpool kini unggul 13 mata di puncak liga, hanya memerlukan enam mata lagi daripada baki enam perlawanan untuk meraih gelaran ke-20 mereka selepas menang 2-1 ke atas West Ham United di Anfield pada Ahad.

Virgil van Dijk menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-89 hasil sepakan penjuru Alexis Mac Allister, beberapa saat selepas gol sendiri Andy Robertson memadamkan gol pembukaan awal Luis Diaz.

Sekiranya Arsenal tewas di Ipswich Town pada Ahad depan, Liverpool akan dinobatkan sebagai juara dengan kemenangan di Leicester City pada hari sama.

Jika tidak, The Reds mungkin perlu menunggu sehingga perlawanan di tempat sendiri seterusnya menentang Tottenham Hotspur untuk peluang mengesahkan gelaran.

“Saya tidak peduli di mana kami memenanginya. Kami tahu kami perlu memenangi dua lagi perlawanan, yang mana dalam 32 kesempatan sudah cukup sukar bagi kami.

“Pertama, menangi dua perlawanan dan itulah satu-satunya perkara yang perlu kami fokuskan, dan setiap minggu cuba memperbaiki diri lebih dan lebih lagi untuk memberi kami peluang yang lebih baik untuk memenangi perlawanan menentang Leicester minggu depan.

“Semua orang boleh bercakap (tentang Leicester) tetapi apa yang saya lihat ialah buat pertama kalinya dalam 11 perlawanan Leicester menjaringkan dua gol dan mendapat keputusan (seri 2-2 di Brighton pada Sabtu).

“Kami telah menunjukkan dalam 32 perlawanan terakhir hanya ada dua atau tiga kemenangan yang agak selesa. Selebihnya adalah hasil usaha kerja yang sangat, sangat keras. Itulah satu-satunya fokus kami memenangi perlawanan bola sepak,” kata Slot.



Source link

OR

Scroll to Top