Arteta yakin Arsenal mampu hadapi tekanan

Arteta yakin Arsenal mampu hadapi tekanan


London: Mikel Arteta menegaskan kemaraan penuh debaran Arsenal ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah membuktikan mereka mempunyai karakter untuk menangani tekanan dalam usaha menamatkan kemarau trofi selama enam tahun.

Pasukan kendalian Arteta itu mengharungi detik cemas dalam aksi timbal balik suku akhir menentang Sporting Lisbon awal pagi tadi apabila mereka bertahan untuk seri tanpa jaringan, sekali gus menang agregat 1-0.

The Gunners jauh daripada prestasi terbaik di Stadium Emirates, namun Sporting gagal mengambil kesempatan apabila Geny Catamo hampir menjaringkan gol buat pelawat menerusi voli separuh masa pertama yang terkena tiang.

Ia satu lagi aksi kurang meyakinkan daripada Arsenal yang tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan hanya mencatat satu kemenangan dalam tempoh tersebut.

Namun, Arteta tetap yakin kemampuan Arsenal untuk meraih keputusan penting walaupun beraksi kurang baik membuktikan semangat dan keazaman mereka masih kuat di sebalik kritikan mengenai kelemahan mental.

“Kami tidak sempurna, kami akui itu, tetapi apa yang pemain lakukan sangat bernilai,” kata Arteta yang pasukannya akan berdepan Atletico Madrid di separuh akhir.

“Mesej saya adalah penghargaan atas usaha mereka. Banyak kerja keras telah dilakukan. Kami terpaksa melakukannya dengan cara sangat istimewa kerana kehilangan ramai pemain penting.

“Kami mempunyai banyak perkara penting untuk mendapatkan keputusan. Ia tentang bagaimana anda bersaing dan apabila anda mahu memenangi trofi, itulah yang diperlukan.”

Dengan Arsenal kehilangan pemain seperti Bukayo Saka, Martin Odegaard dan Jurrien Timber akibat kecederaan, Arteta turut memuji keputusan Declan Rice untuk beraksi menentang Sporting walaupun tidak dapat berlatih kelmarin.

Usaha gigih Rice melambangkan sikap yang dituntut Arteta daripada pasukannya.

“Seratus peratus, terutama ketika saat sukar atau apabila kami kehilangan bola. Declan semalam sangat keletihan. Dia sebenarnya tiada peluang untuk bermain.

“Dia tidak berada dalam keadaan baik, tetapi dia bermain 94 minit hari ini. Dia seorang pemimpin hebat dan pemain penting untuk kami.

“Saya harap kami buat dokumentari Arsenal musim ini, supaya anda boleh lihat apa yang berlaku dalam 48 jam terakhir. Cara orang bercakap, seolah-olah Arsenal berada di dua tangga tercorot liga.”

Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah mereka.

The Gunners yang menewaskan Atletico 4-0 dalam fasa liga pada Oktober, akan bertandang ke Madrid untuk aksi pertama pada 29 April sebelum perlawanan timbal balik di Emirates pada 5 Mei.

“Ia detik sangat besar. Menjadi antara empat pasukan terakhir adalah hasil kerja hebat. Ia malam yang hebat,” kata Arteta.

“Saya sangat gembira untuk semua warga kelab. Kami sedang mencipta sesuatu yang belum pernah dicapai dalam 140 tahun sejarah kelab.

“Kami akan menghadapi dua malam magis menentang Atletico. Apa yang dilakukan Diego Simeone di sana sangat mengagumkan. Peluang terbuka untuk kedua-dua pasukan.”

Selepas tewas kepada Paris Saint-Germain di separuh akhir tahun lalu, kelab dari utara London itu berharap dapat mara ke final buat kali pertama sejak 2006.

Arsenal belum pernah memenangi Liga Juara-Juara, dan dalam masa sama turut memburu gelaran Liga Perdana Inggeris pertama dalam 22 tahun.

Mereka kini mendahului liga dengan kelebihan enam mata, namun Manchester City di tempat kedua mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan akan menjadi tuan rumah kepada Arsenal dalam perlawanan penting Ahad ini.

Arteta yakin kemaraan Arsenal dalam Liga Juara-Juara akan memberikan dorongan besar menjelang pertemuan penting dengan City, yang kini sedang berada dalam prestasi baik ketika Arsenal pula sedikit goyah.

“Ia satu suntikan besar. Untuk berada di separuh akhir Liga Juara-Juara adalah sangat sukar. Kami akan menikmatinya kerana kami layak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top