106 kekosongan jawatan pegawai perubatan di Perak

106 kekosongan jawatan pegawai perubatan di Perak


IPOH: Terdapat sebanyak 106 kekosongan perjawatan hakiki pegawai perubatan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Perak setakat Februari 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A. Sivanesan berkata, KKM juga telah sedia maklum keperluan optimum bilangan pegawai perubatan yang diperlukan di Perak.

Katanya, merujuk kepada terbitan Pusat Informatik Kesihatan kementerian, nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia adalah sebanyak 1 doktor: 403 orang bagi setiap 1,000 populasi.

Namun jelasnya, di negeri Perak, nisbah doktor kepada 1,000 populasi penduduk adalah 1:466.

“Penambahan bilangan pegawai perubatan di semua hospital khususnya hospital berpakar, diperlukan setiap tahun.

“Ia bagi memenuhi peningkatan beban kerja akibat pertambahan populasi, kompleksiti penyakit dan perluasan perkhidmatan perubatan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan rawatan kepada komuniti,” katanya.

Beliau menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) mengenai penempatan pegawai perubatan di hospital utama negeri dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini semalam.

Katanya, setiap tahun negeri Perak menerima penambahan waran perjawatan hakiki dan penempatan secara kontrak bagi pegawai perubatan di hospital-hospital namun masih tidak dapat memenuhi keperluan optimum.-UTUSAN.



Source link

OR

Scroll to Top