am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lelaki ditahan dipercayai melakukan penganiayaan terhadap seekor anjing dengan merendam haiwan itu dalam tangki berisi air di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2.14 pagi daripada orang awam yang melihat video itu di aplikasi Tiktok.
“Kandungan video tersebut memaparkan seorang lelaki bertindak kasar merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 3.40 petang hari, pihak polis menangkap seorang lelaki disyaki warga tempatan berusia awal 20-an di kawasan lokasi kejadian.
“Semasa tangkapan dibuat, tiga ekor anjing turut dirampas bersama suspek dengan bantuan kehadiran pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, manakala Seksyen 428 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071.
© New Straits Times Press (M) Bhd






