Kuala Langat: ‘Arwah cakap tidak perlu berikan wang sekolah lagi minggu depan.”
Demikian antara perbualan terakhir Allahyarham Muhammad Adib Anuar, 16, bersama ibunya malam tadi sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Kuala Langat malam tadi.
Shaffiah Jemagin, 41, berkata arwah ada memintanya sejumlah wang untuk barbeku bersama-sama rakannya sebelum keluar rumah.
“Saya hanya mampu berikan RM5 kepadanya dan wang itu masih tersimpan rapi dalam beg dompetnya. Lebih menyedihkan arwah cakap tidak perlu memberikan wang sekolah lagi minggu depan,” katanya sebak.
Menurutnya, dia merasakan seolah-olah anaknya itu masih ada dan masih berada di rumah seperti biasa.
Ayahnya, Anuar Kami, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah anaknya adalah di rumah kira-kira jam 7.15 petang.
Katanya, dia sempat mengingatkan anak sulung daripada tiga beradik itu supaya menunaikan solat Maghrib sebelum keluar bermain sepak takraw.
“Selepas solat, saya lihat dia keluar dengan membawa stoking tanpa makan malam. Arwah memang memang aktif bermain sepak takraw dengan tiga kali seminggu.
“Saya dapat tahu kejadian yang menimpa anak dan rakan-rakan pada jam 6.45 pagi selepas dihubungi rakan anak. Selang 15 minit kemudiannya, saya dimaklumkan lagi bahawa anak telah meninggal dunia. Luluh hati saya. Sepatutnya, kami sekeluarga akan bercuti di Perak pada minggu depan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, Muhammad Danish Shamsul Sharizan, 16, Muhammad Adib Anuar, 16, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19 maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
© New Straits Times Press (M) Bhd