mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad olahraga remaja negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan di Sukan Remaja Asia 2025 (AYG 2025) di Bahrain baru-baru ini apabila keseluruhan atlet mempamerkan peningkatan ketara dalam prestasi masing masing.
Ketua jurulatih skuad olahraga negara ke AYG 2025, Muhd Khairi Amri berkata peningkatan itu dapat dilihat melalui kemampuan hampir semua atlet memperbaharui catatan peribadi selain mengekalkan konsistensi sepanjang kejohanan.
Beliau berkata kejayaan membawa pulang pingat perak menerusi atlet lompat bergalah Gerfan Nigel Frank hanya sebahagian daripada gambaran lebih besar terhadap kemajuan menyeluruh atlet muda negara.
Menurutnya pencapaian itu lebih bermakna apabila majoriti mereka baru berusia 15 tahun dan pertama kali merasai pengalaman bertanding di pentas Asia.
“Secara keseluruhannya pencapaian atlet olahraga muda negara kini berada dalam keadaan baik kerana masing-masing berjaya melakukan catatan peribadi terbaik selain ada yangg mengalami kecederaan semasa pertandingan.
“Satu pingat perak ini amat berharga kerana rata-rata atlet kita berusia 15 tahun dan tidak pernah dibawa menyertai mana-mana temasya sukan peringkat ASEAN atau Asia. Namun, mereka tunjukkan semangat juang tinggi seolah-olah dahagakan kejayaan,” katanya.
Walaupun kurang pengalaman, beliau melihat atlet muda negara tetap menunjukkan kematangan dengan daya saing tinggi serta keyakinan yang jarang dilihat pada usia sebegitu.
Pada masa sama, Khairi turut memuji keberanian atlet muda negara yang tidak gentar berdepan lawan lebih berpengalaman daripada negara kuasa sukan Asia.
“Peningkatan yang dipamerkan bukan kebetulan sebaliknya hasil latihan berfokus dan pendekatan pembangunan akar umbi yang semakin membuahkan hasil.
“Keputusan di Bahrain menjadi tanda jelas bahawa bakat muda negara mempunyai potensi untuk menyaingi atlet rantau ini dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.
Khairi percaya pencapaian itu juga akan menjadi pemangkin kepada semangat atlet muda lain untuk bekerja lebih keras menjelang kejohanan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






