KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menjalankan siasatan terhadap seorang pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK – UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi berkata, siasatan terperinci terhadap kes itu sedang dilaksanakan pihak terlibat.
“Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan semalam ATM sedang menjalankan siasatan ke atas kes ini.
“Jadi, biarlah siasatan ini dibuat supaya kita mendapat jawapan yang tuntas dan keputusanya nanti akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Pada masa katanya, ATM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes terbabit.
Semalam, ATM mengambil maklum laporan yang tular membabitkan kadet yang diisyaki dibuli seniornya menggunakan seterika hingga melecur di bahagian dada akibat ditekap
Katanya, tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah.
Sehubungan itu, ATM menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut. – MalaysiaGazette