Azizulhasni gagah atasi keletihan untuk naik podium pecut di Nilai

Azizulhasni gagah atasi keletihan untuk naik podium pecut di Nilai


KEKURANGAN rehat dan gagal melelapkan mata tidak menghalang jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat gangsa pecut individu lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini, malam ini.

Azizulhasni yang diberi julukan “Pocket Rocketman” mengakui berdepan cabaran fizikal dan mental apabila tidak dapat tidur akibat lonjakan adrenalin selain pengambilan kafein sebelum perlumbaan keirin semalam, sekali gus menjejaskan proses pemulihan menjelang saingan pecut.

Situasi tersebut menyebabkan atlet berusia 38 tahun itu terpaksa beraksi dalam keadaan keletihan dan mengantuk sepanjang hari pertandingan, namun tetap berusaha mengekalkan fokus untuk mengharungi setiap pusingan perlumbaan sehingga berjaya menaiki podium.

“Selepas habis di sini lewat malam semalam, saya balik dan cuba untuk tidurtetapi tidak berjaya. Saya rasa mungkin disebabkan adrenalin selain pengambilan kopi sebelum perlumbaan, jadi memang agak sukar untuk melelapkan mata, hanya tidur-tidur ayam.

“Saya hanya mampu baring, pusing kiri dan kanan sehingga sekitar 6.30 pagi sebelum perlu bersiap untuk sesi pemanasan badan kerana kelayakan (pecut) bermula awal pagi,” katanya yang mencipta sensasi merangkul emas keirin ketika ditemui selepas perlumbaan di sini.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata cabaran semakin dirasai selepas peringkat suku akhir apabila tempoh rehat yang singkat menjejaskan proses pemulihan, dengan hanya kira-kira satu jam diberikan sebelum perlu kembali ke trek.

Mengulas aksi separuh akhir menentang pelumba Trinidad dan Tobago Nicholas Paul pula, juara dunia 2017 itu berkata beliau bermula baik dengan memenangi perlumbaan pertama, namun kekurangan tenaga memberi kesan dalam perlumbaan berikutnya.

“Dalam perlumbaan kedua, dia (Paul) menggunakan strategi pecutan panjang dan saya tidak mampu menyaingi kerana kekurangan tenaga serta penggunaan gear lebih kecil. Dalam perlumbaan penentuan, beliau memulakan pecutan lebih awal dan keadaan fizikal saya tidak mengizinkan,” katanya.

Sementara itu, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui mengalami keletihan melampau sejurus tamat perlumbaan separuh akhir, namun berjaya bangkit untuk aksi penentuan gangsa hasil sokongan padu penyokong.

“Saya cuba pulihkan diri dengan memberi tumpuan kepada pernafasan sebelum aksi penentuan gangsa. Walaupun masih penat dan mengantuk, saya mahu beri yang terbaik untuk penyokong yang hadir. Saya tidak mahu menghampakan mereka, terutama yang datang dari jauh,” kata atlet berusia 38 tahun itu.

Pingat emas acara itu dimenangi juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda, sekali gus mengubati kekecewaan meraih perak dalam acara keirin manakala Paul terpaksa berpuas hati dengan perak.

Sebagai rekod, Azizulhasni turut merangkul gangsa pecut individu lelaki pada siri Piala Dunia di Perth, Australia Mac lepas. – Bernama

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top