Regu negara tempah tiket separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Regu negara tempah tiket separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026


REGU negara menepati ramalan mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menumpaskan Filipina 2-0 pada aksi suku akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur di sini malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun bertemu regu Myanmar yang berjaya menundukkan India 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Regu negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) tidak berdepan masalah untuk mengekalkan momentum kemenangan selaku juara Kumpulan A pagi tadi dengan meraih mata pertama 15-9.

Kemenangan set pertama itu menyuntik keyakinan untuk satu lagi kemenangan mudah buat regu negara apabila menyekat kebangkitan regu Filipina yang diwakili Ronsited Gabayeron, Glindel Phori dan Vince Alysson Torno dengan kemenangan 15-5.

Ahmad Jais bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki menjelang aksi separuh akhir, khususnya melibatkan konsistensi servis pemain negara.

“Jika dilihat tadi, mungkin dari segi balingan ataupun dari segi masa semasa melakukan servis yang perlu diperkemaskan lagi supaya temponya dapat dipertingkatkan.

“Sekurang-kurangnya kita dapat kurangkan kesilapan pada perlawanan itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan. -Bernama



Source link

OR

Scroll to Top